SEPANG – Kumpulan pertama 442 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini dengan pesawat SV5644 Saudi Airlines.
Ketibaan mereka pada 11.21 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah itu disambut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Datuk Badlisyah Abdul Ghani, pengurusan tertinggi TH serta anggota keluarga dan saudara mara yang menunggu sejak 10 pagi.
Bercakap kepada pemberita, Badlisyah berkata sebanyak 47 penerbangan akan membawa pulang kesemua 22,320 jemaah haji bermula hari ini, dengan penerbangan terakhir dijadual tiba di tanah air pada 15 Okt.
Beliau berkata sembilan orang jemaah tidak berjaya melaksanakan ibadat wukuf, satu daripada rukun yang mesti dilaksanakan setiap jemaah bagi menentukan ibadat haji yang sempurna kerana mengalami masalah kesihatan yang serius.
“Seramai 12 jemaah meninggal dunia, 11 kematian di Tanah Suci dan seorang ketika di tanah air,” katanya.
Badlisyah berkata semua jemaah haji dibekalkan dengan borang penilaian bagi mendapatkan maklum balas perkhidmatan yang disediakan TH, antaranya turut melibatkan soal keselamatan untuk membolehkan penambahbaikan dilakukan jika ada rungutan.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Syafiq Muhammad Isa dan isteri Dr Hanisah Jeffrey, jemaah yang merupakan pasangan termuda dalam kumpulan tersebut berkata peluang mengerjakan rukun Islam kelima di usia muda merupakan satu pengalaman terindah yang tidak mungkin dilupakan.
Dr Muhammad Syafiq, 27, berkata umat Islam yang telah berdaftar dengan TH perlu mempersiapkan diri dari segi ilmu dan kewangan kerana panggilan menunaikan haji mungkin dibuat di saat akhir.
“Saya sendiri tidak menjangka dapat pergi haji tahun ini…tetapi selepas isteri disenaraikan sebagai mereka yang layak, saya turut ditawarkan tempat atas kapasiti mahram atau pengiring kepada isteri.
“Ini kerana syarat Arab Saudi yang menetapkan wanita berumur 45 tahun ke bawah perlu ditemani oleh seorang mahram,” katanya yang bertugas di Hospital Kuantan, Pahang.
Bagi Dr Hanisah, 26, yang bertugas di tempat sama dengan suaminya, berkata keputusan ibu bapanya mendaftarkan beliau sebagai pendeposit di Tabung Haji ketika masih di sekolah rendah membawa tuah sehingga dapat menunaikan haji ketika usia muda.
Sebab itu, saya amat bersyukur dengan keputusan ibu bapa mendaftarkan saya ketika masih di sekolah rendah dan usaha itu bertambah manis apabila dapat menunaikan haji bersama-sama suami, katanya. – BERNAMA