Monday 25 July 2016

Maut selepas 8 jam bertarung nyawa nahas di Binjai Rendah




MARANG – Seorang penunggang maut manakala seorang lagi cedera selepas dua motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 18 Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Binjai Rendah di sini, semalam.
Dalam kejadian pada lebih kurang jam 9 pagi itu, pemandu lori terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang dan ketika tiba di lokasi nahas, dikatakan sebuah motosikal di depannya bertukar lorong dari kiri ke kanan secara tiba-tiba.
Situasi berkenaan menyebabkan pemandu lori gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal tersebut menyebabkan lori dipandunya terbabas ke kanan jalan dan memasuki laluan bertentangan.
Malang menimpa seorang lagi penunggang yang datang dari arah bertentangan apabila motosikal dinaikinya turut dirempuh lori tersebut menyebabkan dia tercampak dan motosikal ditungganginya terperosok di bahagian hadapan lori.

Kedua-dua penunggang dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu akibat kecederaan dan salah seorang daripadanya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital berkenaan, petang semalam, kerana kecederaan dialaminya agak serius.
Mangsa dikenali sebagai Ahmad Mukris Aiman Rosdi, 20, iaitu anak kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah rendah di daerah ini dan disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 5.35 petang, selepas lebih lapan jam bertarung nyawa.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan memaklumkan, kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -sinar

No comments:

Post a Comment