PORT DICKSON: Seorang wanita putus kepala, manakala suaminya putus tangan selepas motosikal mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 14.2, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu menyebabkan Nor Azina Mohd Ratki, 39, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya Shamasrol Abu Bakar, 36, pula cedera parah.
Sumber berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila Shamasrol yang menunggang motosikal jenis Naza Blake GT600 terbabas, lalu melanggar pembahagi jalan. AT-M Ad Katanya, kejadian itu menyebabkan leher Nor Azina terseret di besi penghadang jalan sebelum terputus dan tercampak sejauh 10.5 meter dari badan.
“Lelaki itu pula tercampak dan terkena besi penghadang jalan menyebabkan tangan kirinya putus sehingga ke paras siku,” katanya sambil menambah kejadian itu turut disaksikan rakan mangsa, yang mengekori motosikal pasangan berkenaan.
Abang Nor Azina yang enggan dikenali berkata, adiknya bersama suami dalam perjalanan pulang ke Petaling Jaya, Selangor, selepas berbuka puasa bersama rakan dengan berkonvoi ke daerah itu.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, adik saya dipercayai tertidur di belakang menyebabkan suaminya hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.
“Jenazah adik akan dikebumikan di Kota Damansara, manakala suaminya yang cedera parah, kini mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ,” katanya.
Beliau berkata, pasangan itu mempunyai tiga anak berusia lingkungan sembilan tahun hingga 16 tahun dan masih bersekolah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BH
Panggilan terakhir sebelum maut
“Kalau mak tak ada, tak apa kan?”
Pertanyaan arwah yang seolah-olah tahu ajalnya hampir tiba itu didengari rakannya, Izzaty Senin, 25, beberapa minit sebelum kemalangan ngeri melibatkan motosikal jenis Naza Blade itu berlaku.
Lebih menyayat hati kata Izzaty, kemalangan yang berlaku selepas sahur itu menyebabkan kepala Nor Azina terputus semasa terjatuh daripada motosikal dipercayai akibat terkena besi pembahagi jalan manakala anggota badannya tercampak lebih 20 meter.
Menurutnya, suami mangsa pula cedera parah serta putus tangan kiri dan kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.
“Sebelum kemalangan, kami sempat mengisi minyak di Petronas Port Dickson pada pukul 3.45 pagi dan saya ada terdengar Nor Azina kata dia mengantuk. Ada rakan kami yang memberi cadangan untuk bermalam di Port Dickson memandangkan hari ini cuti, namun semua sepakat pulang ke Kuala Lumpur sahaja.
“Pada ketika itu, Nor Azina juga ada menghantar mesej dalam WhatsApp kumpulan dan meminta supaya menjaga tiga orang anaknya. Dia seperti tahu itu adalah sahurnya yang terakhir bersama suaminya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jenazah mangsa dibawa ke Masjid Datuk Haji Kamaruddin di Petaling Jaya, Selangor untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara selepas asar, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Utusan
No comments:
Post a Comment