KUALA TERENGGANU – Yayasan Terengganu (YT) akan membuka dua sekolah menengah Imtiaz baharu menjelang sesi persekolahan 2015 bagi menampung permohonan yang terlalu banyak untuk memasuki sekolah berkenaan.
Pengarahnya, Mohamad Sulong berkata, dua sekolah itu akan dibuka di Gong Badak, Kuala Nerus dan Desa Saujana dekat Setiu dengan mengubah suai bangunan kedai untuk dijadikan kelas, makmal dan asrama.
“Proses sebut harga dan tender sedang dilakukan dan jika semuanya berjalan lancar, proses pembelajaran di kedua-dua sekolah baharu itu akan bermula 1 Februari 2015.
“Untuk permulaan, kita ambil 100 pelajar Tingkatan Satu untuk setiap sekolah, 50 pelajar lelaki dan 50 pelajar perempuan manakala pengambilan 40 guru untuk kedua-dua sekolah itu juga sedang dijalankan,” katanya di sini hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas perasmian majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran sekolah-sekolah menengah Imtiaz YT yang disempurnakan Yang Dipertua Dun Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong.
Pada majlis itu, YT memperuntukkan RM300,000 untuk 300 pelajar yang berjaya menghafaz al-Quran dan pelajar cemerlang daripada lima sekolah menengah Imtiaz sedia ada di Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Besut dan Hulu Terengganu.
Mohamad berkata, pihaknya menerima lebih 2,000 permohonan setiap tahun sedangkan hanya 100 pelajar diambil untuk setiap sekolah pada masa ini, dan daripada jumlah itu hanya lima peratus kuota disediakan kepada pelajar luar Terengganu.
“Syarat pertama sudah tentulah memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan kemudian, calon akan ditemu duga untuk mengetahui tahap mereka dalam membaca dan menghafaz al-Quran.
“Permohonan akan mula dibuka seminggu selepas ini dan ibu bapa yang berminat boleh melayari laman web Yayasan Terengganu untuk mengisi borang secara online,” katanya.
No comments:
Post a Comment