Negeri Sembilan dan Selangor merupakan antara negeri yang mencatatkan IPU tertinggi setakat pukul 5 petang ini.
Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Seremban mencatatkan IPU tertinggi iaitu 170 di-ikuti Nilai (169), Shah Alam (166), Batu Muda (165), Pelabuhan Klang (159), Petaling Jaya (153), Putrajaya (151), Banting (145) dan Cheras (132).
PELAJAR memakai topeng muka ketika hadir ke sekolah dalam keadaan cuaca berjerebu pagi ini. Bacaan IPU mencatatkan 106 iaitu pada paras tidak sihat di Johor Bahru. 
Sementara itu, Melaka turut mencatat IPU tidak sihat sepanjang hari ini, antaranya di bandar raya Melaka (153) dan Bukit Rambai (152).
Malah, Johor dan Pulau Pinang turut mencatat IPU tinggi melebihi 100, antaranya di Muar (116), Pasir Gudang (114), Larkin Lama (112), Universiti Sains Malaysia (USM) (112) dan Seberang Jaya 2, Prai (109).
IPU tidak sihat turut dialami di Perak, Pahang, Kedah dan Terengganu, antaranya di Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh, Ipoh mencatat 107, Seri Manjung (103), Balok Baru, Kuantan (106), Sungai Petani (104) dan Kemaman (101).
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan berkata, secara keseluruhannya bilangan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat semakin meningkat berban-ding semalam.
“Jerebu merentas sempadan dari Sumatera dan Kalimantan, Indonesia ini masih mempengaruhi status kualiti udara dalam negara,” katanya.