Monday 6 July 2015

Terengganu akan wujud pusat pengajian taranum – MB


Ahmad Razif di majlis Penyampaian Bonus Guru Khidmat Masyarakat, Guru Kafa dan Guru Pintar Al-Quran Yayasan Islam Terengganu 2015
Kerajaan Negeri Terengganu akan mewujudkan sebuah pusat tilawah al-Quran di Serada dekat sini bagi melahirkan lebih ramai qari dan qariah cemerlang.
Mengumumkan demikian Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Yayasan Islam Terengganu (YIT) ditugaskan menubuhkan pusat tersebut yang akan dikenali sebagai pusat pengajian taranum.
Tenaga pengajar pusat itu akan terdiri daripada qari dan qariah terkenal yang pernah berjaya di tilawah antarabangsa.
Katanya, “Bagi qari dan qariah lama seperti Hajah Rogayah (Datuk Rogayah Sulong) dan sebagainya…kita akan lantik (tawarkan) sebagai guru-guru utama
atau guru secara kontrak,” katanya.
“Kita juga akan melantik qari dan qariah kita seperti Ustaz Yahya Ali, Hidayah (Nurhidayah Abd Rahman) dan Ustaz Tarmizi (Ahmad Tarmizi Ali) untuk mencari bakat-bakat baharu dalam bidang ini.
“Pada masa yang sama, kita akan tawarkan kepada mereka untuk menjadi tenaga pengajar sepenuh masa di pusat tersebut,” kata Ahmad Razif.
Pelajar di pusat itu akan termasuk dari kalangan pelajar sekolah rendah.
“Jika pusat itu berjaya kelak, kita bercadang untuk memperluaskan konsep ini di semua daerah secara berperingkat,” katanya.
Menteri Besar bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian bonus RM500 kepada 3,946 Guru Kelas Agama Fardhu Ain (Kafa), Guru Pintar Al-Quran dan Guru Khidmat Masyarakat daripada kerajaan negeri Terengganu di sini hari ini.
Sementara itu sebanyak 3,946 guru Kelas Agama Fardhu Ain (Kafa), Pintar Al-Quran dan Khidmat Masyarakat menerima bonus sebanyak RM500 daripada kerajaan negeri Terengganu.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pengagihan bonus yang julung kali dilakukan itu melibatkan kos sebanyak RM1.98 juta.
Beliau berkata ia akan dijadikan bonus tahunan dan jumlahnya akan dipertingkat dari semasa ke semasa.
“Pembayaran bonus ini membabitkan seramai 2,592 guru Kafa, 226 guru Pintar Al-Quran dan 1,128 guru Khidmat Masyarakat yang telah berkhidmat lebih daripada 10 tahun,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bonus itu di sini hari ini. – Bernama

No comments:

Post a Comment