Monday 6 July 2015

Penerima belum terima dana raya digesa buat laporan


Pejabat E-Aduan di Paya Keladi Kuala Terengganu.
Pejabat E-Aduan di Paya Keladi Kuala Terengganu.
KUALA NERUS – Penerima Dana Raya dan Dana Bakti Remaja daripada kerajaan negeri yang masih belum mendapat wang tersebut diminta segera membuat laporan ke pejabat E-Aduan di Paya Keladi di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata berdasarkan laporan, ada penerima yang layak mendapat sumbangan itu pada tahun-tahun sebelum ini, namun gagal menerimanya pada Ramadan kali ini.
“Ini disebabkan beberapa masalah teknikal, antaranya tidak memasukkan data secara manual dan kebanyakan kes pula dikesan penerima tidak mendaftar sebagai pengundi di Terengganu.
“Namun kerajaan negeri mahu semua yang layak menerima dana ini agar segera membuat aduan agar boleh mendapatkannya secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan baucar Aidilfitri kepada 200 anak yatim dan miskin di Seberang Takir hari ini.
Pada tahun ini, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM100 juta untuk dua dana tersebut dan jumlah itu tidak termasuk kes rayuan yang sudah ditutup pada Khamis lepas.
“Jumlah pemohon yang merayu mendapatkan dana ini akan diketahui dalam Mesyuarat Mingguan Exco Rabu depan, begitu juga dengan jumlah dana tambahan yang akan dikeluarkan untuk kes rayuan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata mulai tahun depan juga, kerajaan negeri akan mengagihkan sumbangan Dana Bakti Remaja kepada mahasiswa di universiti mereka untuk memastikan kelancaran pengagihannya.
“Sistem ini lebih sistematik di mana mahasiswa tidak perlu pulang ke Terengganu semata-mata mahu mengambil wang ini, sebaliknya kita yang akan melawat mereka di universiti untuk menyampaikannya kepada mereka.
“Begitu juga dengan warga emas, Orang Kelainan Upaya dan pesakit terlantar, kita lawat mereka di rumah untuk sampaikan sendiri Dana Raya sepanjang Ramadan.
“Kita mendapat maklum balas yang sangat baik daripada masyarakat di peringkat akar umbi dengan perubahan sistem agihan baharu ini yang disifatkan sangat efektif,” katanya. -Bernama

No comments:

Post a Comment