Monday 6 July 2015

"Saya terima suratan ini dengan hati terbuka” – isteri nelayan


SALIHANA Zawawi (kiri) hadir di bilik mayat Hospital Sultanah Nurzahirah selepas suaminya, Mohd Zawawi Seman dijumpai di perairan Pulau Kapas.
KUALA TERENGGANU: “Saya terima suratan ini dengan hati terbuka.
Sekurang-kurangnya saya masih mampu menatap jenazahnya buat kali terakhir dan tanda tanya saya selama ini tentang kehilangannya sudah terjawab.
“Saya reda akhirnya penantian saya berakhir.
Namun saya turut sedih hajat untuk meraikan Aidilfitri buat kali pertama bersama suami tidak kesampaian,” kata isteri kepada Mohd Zawawi Seman, 36, nelayan yang mayatnya ditemui setelah hilang di laut sejak 21 Jun lalu.
Salihana Zawawi, 29, berkata walaupun reda, namun dia berasa sedih kerana satu-satunya anak mereka sudah tidak mempunyai bapa pada usia dua bulan.
Salihana berkata, dia menerima panggilan daripada pihak polis mengenai penemuan mayat suaminya pada jam 6 petang semalam.
Sejurus selepas itu, pihak polis datang ke rumahnya di Kampung Gong Limau, Kemaman dan membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk pengesahan mayat.
Salihana berkata, dia pada mulanya tidak percaya suaminya telah meninggal tetapi setelah dimaklumkan mengenai penemuan beg pinggang yang mengandungi beg duit, kad pengenalan, telefon bimbit serta kad perkahwinan mereka bersama mayat itu, barulah dia mempercayainya.
Mohd Zawawi Seman ditemui selepas hilang sejak 21 Jun lalu.
Mayat suaminya ditemui terapung di permukaan laut oleh sekumpulan nelayan di perairan Pulau Kapas semalam, setelah suaminya hilang bersama tiga rakan lain setelah keluar ke laut di perairan Kemaman.
Mengikut Salihana, pada 25 Jun, suaminya ada menelefon adiknya dan memaklumkan mengenai kejadian ribut di tengah laut sebelum perhubungan mereka terputus akibat telefon suaminya dipercayai kehabisan bateri.
“Dua tiga hari sebelum mayat suami ditemui, naluri saya kuat mengatakan dia telah meninggal dunia.
Anak saya juga menunjukkan kelakuan pelik dengan meragam dan tiba-tiba tersenyum,” katanya.
Katanya, arwah suaminya telah berpesan sebelum turun ke laut supaya dia menjaga keluarga dan anak mereka dan seakan-akan enggan untuk turun ke laut. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment