ABDUL Kahar dibebaskan dengan parol dan mengisytiharkan dirinya bertaubat dalam satu majlis khas anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) . – Foto MAIS
SHAH ALAM: Lelaki yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’ dan menyebarkan ajaran sesat, Abdul Kahar Ahmad, dibebaskan hari ini.
Abdul Kahar, 66, juga mengisytiharkan dirinya bertaubat serta turut menandatangani Dokumen Pengisytiharan Taubat dalam satu majlis anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Pusat Rawatan Islam Al-Manarah, Kuang.
Majlis berkenaan disaksikan Setiausaha MAIS, Datuk Bakhtiar Hussin serta Ahli MAIS, Prof Dr Mujaini Tarimin.
Sementara itu, Bakhtiar berkata Abdul Kahar melahirkan rasa kesalnya terhadap apa yang pernah dilakukan selain nekad tidak akan mengulangi lagi kesalahan lampau.
“Beliau memohon maaf kepada Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri dan umat Islam yang terguris hati serta terkeliru dengan ajaran salah yang dibawanya.
“Beliau turut memohon masyarakat dan media tidak lagi merujuk dirinya sebagai Rasul Melayu lagi demi menjaga kesucian Islam dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Pada Oktober 2009, Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Abdul Kahar dipenjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan bersabit kes penyebaran ajaran sesat. -berita harian
No comments:
Post a Comment