Tuesday 4 August 2015

Bayar RM 5, Makan Sampai Kenyang Netingg !!! – Taman Pertanian Sekayu


image (1)SEKAYU – Orang ramai khususnya penggemar buah-buahan tempatan kini boleh nikmati pelbagai jenis buah di Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS), di sini, sepanjang musim buah kali ini melalui promosi ‘RM5 seorang, makan hingga puas’ yang bermula minggu ini.
Pengurus TPNS, Mohd Amran Awang berkata, ia adalah kesinambungan promosi sewaktu musim buah pada tahun-tahun sebelum ini yang bertujuan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke destinasi pelancongan tersebut.
Menurutnya, sempena musim buah kali ini, pihak TPNS tidak ketinggalan untuk meneruskan promosi ‘RM5 seorang, makan sehingga puas’ kepada pengunjung dan ia bermula minggu ini.
“Bagaimanapun, buat masa ini hanya durian serta rambutan masak sepenuhnya. Buah-buahan lain seperti pulasan, duku, manggis, cempedak dan rambai ada yang belum masak dan kita jangkakan pengunjung dapat nikmatinya hujung bulan ini.
“Sememangnya promosi RM5 ini diadakan sepanjang musim buah tetapi kita akan tamatkannya sebaik sahaja buah habis,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kata Mohd Amran, melalui promosi RM5 itu pengunjung bukan sahaja dapat nikmati pelbagai jenis buah dengan kadar bayaran yang begitu rendah, tetapi juga berpeluang merasai pengalaman makan buah-buahan dalam suasana kebun.
“Pastinya ia satu pengalaman menarik apatah lagi mereka boleh memetik buah-buahan dari atas pokok.
“Jika berminat untuk dibawa pulang, kita akan timbang dan pastinya harga di sini lebih rendah berbanding di pasaran,” katanya.
Tambah Mohd Amran, sehubungan itu mana-mana pihak yang ingin berkunjung ke TPNS bagi merasai pengalaman itu khususnya secara berkumpulan boleh menghubungi pejabat TPNS di talian 09-6124406 bagi memudahkan pihak pengurusan.
Katanya lagi, dusun buah-buahan di TPNS tersebut berkeluasan kira-kira lapan hektar dengan dipenuhi pelbagai jenis tanaman termasuklah durian, manggis, ciku, limau, madu, pulasan serta cempedak dan ia sememangnya menjadi satu daya tarikan pengunjung. SH

No comments:

Post a Comment