Wednesday 15 July 2015

Agih peruntukan khas sempena Aidilfitri – Ahmad Razif


Ahmad Razif menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 150 pelajar miskin di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato Abbas Tok Jiring.
KUALA NERUS – Kerajaan negeri mengagihkan peruntukan khas kepada jabatan dan agensi keselamatan yang terlibat menjaga keselamatan pengguna jalan raya dan memastikan aliran trafik lancar pada musim perayaan ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata peruntukan itu diberi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
“Bagi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu, kita agih RM10,000 manakala Ibu Pejabat Polis Daerah yang lain kita beri RM5,000, bagi JPJ, Bomba dan JPAM pula, masing-masing menerima RM10,000.
“Tumpuan juga diberi kepada laluan di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), kita berharap dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya pada perayaan kali ini berbanding tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 150 pelajar miskin di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato Abbas di sini hari ini.
Terdahulu, pada majlis yang berlainan, beliau menyampaikan sumbangan Aidilfiri kepada 505 anak yatim dan pelajar miskin bagi kawasan Dun Seberang Takir.
Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata rakyat Terengganu yang ingin meninggalkan rumah mereka diharap dapat memaklumkan perkara itu kepada pihak polis di balai berdekatan untuk memudahkan pemantauan dibuat.
“Dalam taklimat lalu-lintas dan keselamatan rumah sepanjang musim perayaan, inilah perkara yang ditekankan oleh pihak berkuasa, jadi saya harap perkara ini tidak diambil mudah, sebaliknya beri kerjasama kepada pihak berkuasa.
“Begitu juga dengan ibu bapa, diharap dapat memantau aktiviti anak-anak mereka bagi mengelak sebarang kejadian tidak diiingini,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment