Thursday 16 July 2015

Rempuh polis: Pelajar 17 tahun mengaku bersalah


Laporan akhbar 26 Jun lalu.
Seorang pelajar Giat Mara didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, apabila mengaku salah melanggar seorang anggota polis sukarelawan yang sedang bertugas dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Hiliran, di sini.
Pelajar berusia 17 tahun itu turut berdepan penjara lima bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan dan pada masa sama, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi memutuskan lesen memandu miliknya dibatalkan.
Semua keputusan itu dibuat selepas dia yang berasal dari Kampung Durian Mas, Manir, mengaku salah menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya atau melulu sehingga berlanggar dengan mangsa, Mohd Noor Faiz Noorzan, 24, yang menyebabkan kecederaan.
Dia mengaku salah melakukan perbuatan itu di Jalan Hiliran berhampiran stesen minyak Shell Pulau Kambing, pada 26 Jun lalu, kira-kira jam 6.15 petang.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna.
Pada hari kejadian mangsa bersama beberapa rakan setugas sedang menjalankan operasi Ops Samseng Jalanan di sekitar pentadbiran Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuala Terengganu dan telah membuka sekatan jalan raya di Jalan Hiliran berhadapan Babina Kuala Terengganu.
Kira-kira jam 6.15 petang, dia menerima maklumat terdapat sebuah motosikal jenis Honda ex5 telah berpatah balik dan melawan arus daripada sekatan jalan raya.
Kes mat rempit langgar polis selepas cuba elak road block di Pulau Kambing Kuala Terengganu
Beberapa anggota termasuk mangsa yang berada di lokasi cuba mengarahkan penunggang motosikal berkenaan berhenti, namun penunggang itu terus merempuh mangsa lalu terjatuh.
Sejurus itu, penunggang motosikal tersebut terus melarikan diri, namun dia berjaya ditangkap sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut, manakala mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), untuk rawatan susulan.
Mangsa, Konstabel s/p Mohd Noor Faiz, 24, luka di bibir dan muka akibat rempuhan berkenaan. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment