Monday 18 May 2015

FAM rujuk Jawatankuasa Tatatertib kes rusuhan , jamin siasat bantahan gol


Datuk Hamidin Mohd Amin.
KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan merujuk kes rusuhan penyokong Terengganu pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu kepada Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu. Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jawatankuasa berkenaan akan meneliti segala aspek berhubung kes rusuhan berkenaan sebelum membuat tindakan lanjut.
Beliau turut memberi jaminan bahawa FAM akan menyiasat bantahan pemain Terengganu berhubung gol pemain pertahanannya, Ahmad Nordin Alias pada penghujung babak perlawanan yang dibatalkan pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob kerana pemain itu dikatakan berada pada kedudukan offsaid. “Merujuk kepada bantahan pemain Terengganu selepas gol mereka dibatalkan, keputusan pengadil adalah muktamad. Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan lengkap daripada pegawai perlawanan berhubung apa yang berlaku,” kata Hamidin dalam satu kenyataan, hari ini.

Insiden yang membangkitkan kemarahan penonton bola sepak Terengganu.
Terengganu menang 3-2 ke atas wakil Singapura, Lions XII pada aksi timbal balik, semalam namun gagal mara ke final Piala FA berdasarkan peraturan gol di tempat lawan walaupun terikat 4-4 secara agregat. Lions XII menang tipis 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, 9 Mei lepas. Penyokong Terengganu dilaporkan menimbulkan kekecohan dengan merosakkan harta benda awam termasuk membakar sebuah ambulans yang diletakkan di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin selepas skuad Penyu gagal melangkah ke final Piala FA.
Kekecohan berkenaan dikatakan berpunca rasa tidak hati mereka terhadap keputusan Mohd Amirul Izwan yang membatalkan jaringan keempat Terengganu menerusi tandukan Ahmad Nordin pada minit ke-89 kerana dikatakan berada pada kedudukan ofsaid. Lions XII bakal menentang Kelantan pada aksi final Piala FA pada 23 Mei ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kelantan yang muncul juara Piala FA pada 2012 dan 2013 mencipta kejutan selepas mengalahkan juara bertahan, Pahang menerusi keputusan agregat 3-2 pada satu lagi aksi separuh akhir. – Bernama

No comments:

Post a Comment