Sunday 5 April 2015

Isteri Wakil Rakyat Perlu Tampil Proaktif Bantu Suami Berkhidmat Untuk Masyarakat


11080475_865088670204514_4879249350714666429_o
Isteri wakil rakyat perlu tampil lebih proaktif dalam membantu suami mereka memberi perkhidmatan terbaik di kawasan masing-masing, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.
Beliau berkata dalam perkembangan dunia teknologi yang semakin pantas ketika ini, rakyat mahukan perkhidmatan yang pantas dan lancar serta prosedur yang dipermudahkan.
Beliau turut menegaskan peranan penting yang perlu dimainkan oleh isteri wakil rakyat apabila rakyat datang ke rumah untuk pelbagai urusan dan suami tiada di rumah.
“Paling penting layani rakyat dengan sopan dan catatkan hasrat mereka untuk bertemu wakil rakyat dan ini perlu diajukan sebaik sahaja suami pulang ke rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat agung Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) bagi tahun 2015 di Sungai Tarom di sini hari ini.
Turut hadir isteri Menteri Besar Toh Puan Halina Zakaria yang juga Yang Dipertua Serikandi bersama isteri wakil-wakil rakyat Terengganu.
Ahmad Razif juga berkata isteri wakil rakyat juga harus sentiasa menyokong tugas suami masing-masing dalam aktiviti mendekati rakyat seperti menziarahi orang sakit, kematian dan meraikan pernikahan serta kejayaan yang dicapai rakyat di kawasan masing-masing.
Beliau turut menekankan kepentingan teknologi komunikasi yang semakin canggih dan isteri wakil rakyat seharusnya menggunakan pendekatan ini untuk mendekati hati pengundi seterusnya membantu mereka.
“Contohilah peribadi isteri-isteri Rasulullah SAW yang banyak membantu perjuangan Baginda dalam menegakkan syiar Islam dan semoga usaha ini terus mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” katanya.

No comments:

Post a Comment