Hasan Malek
Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, permintaan terhadap petrol RON97 meningkat secara mendadak berikutan harganya yang tidak jauh berbeza dengan RON95.
“Sebelum ini, perbezaan harga RON95 dan RON97 besar. Jadi, bekalan yang dihantar untuk RON97 hanya 12 ke 20 peratus.
“Ada juga masalah dari segi tangki minyak yang berbeza dan pengusaha stesen minyak hanya boleh sediakan RON97 untuk jumlah tertentu. Apa yang penting, pengusaha kena guna pendekatan baharu dan sistem yang dikemas kini bagi mengelakkan situasi berulang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menafikan terdapat pengusaha stesen minyak menyorok bekalan RON97 sambil memberi jaminan masalah kehabisan stok RON97 akan diselesaikan minggu depan.
“Saya berjumpa secara berkala dengan pengusaha dan mereka jamin bekalan akan berterusan. Saya sendiri turun padang semalam (kelmarin) dan tidak timbul soal pengusaha sorok minyak.
“Malah, bekalan untuk kawasan selatan sudah sampai semalam (kelmarin). Manakala, penghantaran bekalan untuk kawasan lain dijangka pada 4 dan 8 Disember ini,” katanya.
Sementara itu, menjawab mengenai kekeliruan yang timbul berkaitan pengiraan penentuan harga petrol dan diesel di negara ini, Hasan berkata, kementerian akan memaparkan formula berkenaan di laman web dalam masa terdekat bagi memudahkan pemahaman rakyat.
Pembangkang sebelum ini mendesak kerajaan menyiarkan setiap minggu secara terperinci harga rujukan RON95, RON97 dan diesel di pasaran dunia serta kos lain yang dimasukkan di dalam perkiraan menentukan harga pasaran Malaysia.SH
No comments:
Post a Comment