DUNGUN – Kerajaan Terengganu akan menggantikan semula tanah rizab orang Melayu yang telah dibangunkan di negeri itu bagi memastikan tanah berkenaan terus dipertahankan.
Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata semua tanah rizab berkenaan akan dilindungi kerajaan negeri daripada dijual atau dipindah milik kepada bangsa-bangsa lain.
“Pada masa ini terdapat sebanyak 218 hektar tanah rizab orang Melayu di seluruh negeri dan kebanyakannya terdapat di daerah Hulu Terengganu.
Terengganu adalah antara negeri yang paling sedikit mempunyai tanah rizab berkenaan namun, kita unik berbanding negeri lain di Malaysia, kerana selain tanah rizab Melayu, kita juga mempunyai tanah pegangan orang Melayu dalam memastikan kelangsungan survival pemilikan tanah Melayu di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Mara Ketengah International College (MKIC) di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.
Tanah pegangan Melayu itu yang keluasannya kurang empat hektar adalah tanah mukim dan kerajaan negeri tidak membenarkan sebarang urusan pindah milik tanah itu kepada bangsa lain.
“Walaupun ada usaha para pemilik tanah yang cuba menggabungkan tanah-tanah mereka melebihi sepuluh ekar (empat hektar) untuk dijual kepada bangsa lain, kerajaan negeri tidak akan meluluskannya.
“Jika ada pun hanyalah sebahagian kecil tanah pegangan bebas milik orang Melayu di kawasan bandar yang dulunya tanah kampung yang boleh dijual iaitu sekitar Bukit Payong dan Seberang Takir,” katanya.
Sehingga kini hanya sebahagian daripada 218 hektar tanah rizab Melayu yang telah dibangunkan kerajaan negeri dan kerajaan negeri akan berusaha menambah keluasan tanah rizab di negeri itu.
Sabtu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2014 mengarahkan semua Menteri Besar di bawah Barisan Nasional menggantikan semula tanah rizab Melayu yang diambil untuk tujuan pembangunan.
Najib juga mahu kerajaan negeri membangunkan tanah itu agar memberi manfaat kepada pemiliknya. – Bernama
No comments:
Post a Comment