Perlumbaan sejauh 3.2 kilo­meter itu akan menggunakan Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee dan Jalan Pinang yang mengelilingi kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan akan berlangsung pada 7-9 Ogos 2015.

Perlumbaan itu turut akan menampilkan pemandu tempatan mencabar jaguh terkemuka antarabangsa yang bersaing bagi kutipan mata dan gelaran beberapa kategori seperti Piala Super Trofeo Lamborghini, Formula Masters dan Cabaran Selebriti Volkswagen Scirocco.

Majlis pelancaran perlumbaan itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib semalam dalam majlis yang turut dihadiri Pengerusi GT Global Race, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, M. Arrasu selaku penganjur.

“Idea untuk melangsungkan GPGT-KL ini tercetus daripada satu perlumbaan hampir sama di jalan raya sekitar Colombo yang disaksikan 2,000 orang. Di Macau juga terdapat sebuah perlumbaan di litar jalan raya.

“Bezanya perlumbaan itu cuma bertaraf kebangsaan tetapi bagi GPGT-KL, kami sedang cuba mendapatkan kelulusan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Mac tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancarannya di sebuah hotel di sini.

Sementara itu, Ahmad Phesal berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selaku rakan penganjur, telah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang timbul ekoran GPGT-KL seperti kesesakan lalu lintas, kebisingan jentera lumba dan rungutan orang ramai.

“Bagi menanganinya, kami akan cuba menyelaraskan tugas dengan pihak-pihak berkenaan supaya perlumbaan yang mampu mempromosi Kuala Lumpur ini dapat diuruskan dan diterima dengan baik.

“Kami juga mengharapkan sedikit tolak ansur daripada warga kota yang mungkin merungut (kerana kesesakan lalu lintas apabila jalan ditutup) dengan kehadiran GPGT-KL ini,” katanya. - utusan on9