Tuesday 16 December 2014

DAP Kata Tiada Hudud, Kelantan Tetap Akan Bentang Di Parlimen

                            
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (empat, dari kiri) bersama pimpinan Pakatan Rakyat (PR) ketika menghadiri Konvensyen Nasional DAP di Subang Jaya hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan jelas menyatakan pendirian DAP hari ini bahawa tiada hukum Hudud akan dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat (PR) jika mereka menang Pilihan Raya Umum(PRU) ke-14 akan datang.
Beliau turut berkata pendirian tidak melaksanakan hukum Islam itu perlu jelas dinyatakan dan dipegang semua parti dalam PR.
“Pakatan perlu buktikan kita boleh mentadbir lebih baik, ini dapat dilakukan dengan dasar yang jelas.
“Jangan kita ulangi krisis menteri besar Selangor lagi, jangan rakyat lihat ada kenyataan bercanggah dalam PR,” katanya ketika berucap pada Persidangan Nasional DAP di Subang Jaya hari ini yang bertemakan “Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing”.

Menurut Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, PR juga perlu mempunyai calon Perdana Menteri yang jelas bagi menghadapi PRU-14 nanti.

“Dalam PRU14, kita hanya akan menang jika kita ada calon perdana menteri dari PR.
“Perlu ada pendirian tegas, kerajaan PR di Putrajaya tidak akan melaksanakan undang-undang hudud. Itu mesti jelas sama sekali.
“Saya menyeru semua pemimpin PR menyatukan kuasa propgresif untuk mengalahkan UMNO,” katanya.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 10 Disember lepas telah pun membuat pengumuman bahawa Kelantan akan menjadi negeri pertama di dunia memasukan perincian pelaksanaan Hudud ke dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II dalam usaha merealisasikan pelaksanaannya.
Difahamkan juga pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan 29 Disember depan, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob akan mengumumkan bahawa akan membentangkan enakmen berkenaan pada sidang Parlimen tahun depan.
Kenyataan Lim itu akan menyemarakkan lagi PAS yang kini dilihat komited untuk melaksanakan sistem hukuman itu biarpun ditentang hebat.
Selain itu, beliau turut memberi jaminan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bahawa DAP akan tetap setia menanti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini bedepan hukuman penjara atas jenayah meliwat.
“Kita mengutuk tindakan terhadap Anwar.
“Di sini saya ingin memberi jaminan kepada Kak Wan, sekiranya Anwar masuk penjara, jangan bimbang, kita akan tunggu sampai beliau keluar penjara,” katanya, merujuk Dr Wan Azizah.
Lim berkata, demi melunaskan hutang mereka kepada 52% sokongan pengundi yang memilih PR dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13), BN perlu ditumbangkan.
“UMNO mesti dikalahkan, tapi kalau kita nak menang, kita mesti dapatkan sokongan pengundi pertengahan.
“Itulah hutang kita kepada 52% pengundi rakyat Malaysia yang sokong PR. Kita mesti bayar balik dengan menang PRU14,” kata Lim. – MYNEWSHUB

No comments:

Post a Comment