Tuesday 16 December 2014

T-Team lantik jurulatih dari Croatia

                              
Tomislav Steinbruckner dilantik jurulatih pasukan T-Team bagi musim 2015.
SETELAH beberapa kali gagal memikat jurulatih luar, pasukan berstatus kelab T-Team kini akhirnya mendapat khidmat jurulatih dari Croatia yang juga merupakan bekas jurulatih kebangsaan Piala Remaja Dunia negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutif T-Team Abdul Rashid Jusoh berkata, jurulatih berusia 48 tahun, Tomislav Steinbruckner, tiba dari Croatia di sini dua hari lepas.
“Diharapkan dengan kehadiran jurulatih ini, kita harap usaha T-Team yang sebelum ini giat mencari jurulatih telahpun selesai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pengenalan Anugerah Sukan Negeri Terengganu 2013/2014 di Kuala Terengganu, hari ini.
Menurut Abdul Rashid, walaupun T-Team, yang beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan, sedikit lambat bagi mendapatkan khidmat jurulatih, tetapi itu tidak menjadi masalah dan diharap Steinbruckner mampu membawa T-Team melonjak naik kembali ke saingan Liga Super musim 2016.
Beliau berkata Steinbruckner telah mula menjalankan tugasnya melatih pasukan T-Team sejak tiba di sini dan satu majlis menandatangani kontrak selama setahun bersama T-Team telahpun diadakan hari ini.
Sebelum ini, T-Team hampir mendapat khidmat jurulatih dari Indonesia tetapi telah menarik diri di saat-saat akhir atas sebab-sebab tertentu.
Senarai pemain pasukan Liga Perdana T-Team 2015.
Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata pihak pengurusan T-Team kini sedang merancang beberapa perlawanan persahabatan bagi melihat sejauh mana persiapan pasukan itu.
Antara perlawanan persahabatan terdekat ialah menentang pasukan Terengganu pada Sabtu ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu. – Bernama

No comments:

Post a Comment