Wednesday 25 November 2015

Rakyat Sabah tolak permohonan maaf Nurul Izzah

AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin
KUALA LUMPUR: Rakyat Sabah tidak akan melupakan tindakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang mengadakan pertemuan degan anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jacel Kiram, baru-baru ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata tindakan berkenaan secara terang-terangan tidak menghormati perasaan rakyat di negeri itu, yang sebelum ini pernah merasai kekejaman kumpulan pengganas terbabit di Lahad Datu.
Beliau berkata, jika Ahli Parlimen Lembah Pantai itu meminta maaf atas tindakannya itu sekali pun, ia sudah terlewat dan tidak relevan bagi rakyat Sabah.
“Persoalannya, mengapa perlu ada perjumpaan? Adakah kehidupan (Nurul Izzah) semata-mata untuk politik diri sendiri dan tidak memikirkan kesannya? Ramai rakan di Sabah menyatakan mereka terkejut dengan perbuatan itu dan mereka mengharapkan tindakan tegas.
“Dia tidak menghormati perasaan rakyat Sabah. Sekiranya rakyat tidak mahu dia datang ke Sabah, saya akan menyokong. Kehidupan bukan demi politik semata-mata, kalau kita mahu popular kerana politik, kita (hakikatnya) tidak perjuangkan hak rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, hari ini.
Sebelum ini, Jacel memuat naik empat keping gambar pertemuan dengan Nurul Izzah dalam akaun Facebook, Princess Jacel H Kiram-Hassan, yang menjadi kontroversi.
Gambar yang dimuat naik Jacel di laman sosial itu turut memaparkan mereka memegang kain rentang tertera perkataan ‘Lepaskan Anwar Segera’.
Dalam pada itu, Rosnah memberitahu, beliau menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas Nurul Izzah.”Kalau dibawa ke Parlimen pun saya akan sokong. Apa-apa tindakan pun perlu. Saya menyokong segala tindakan yang akan diambil,” katanya. -bh

No comments:

Post a Comment