Wednesday 18 November 2015

Abu Sayyaf pancung tebusan Malaysia


Diculik pada Mei tahun ini, laporan mendakwa Bernard dipenggal kepalanya oleh militan Abu Sayyaf di Pulau Jolo, selatan Filipina hari ini.
KOTA KINABALU: Pelancong dari Sarawak, Bernard Then yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf telah dibunuh di selatan Filipina.
Kepalanya dipercayai dipenggal kumpulan tersebut kira-kira pukul 4 petang di kepulauan Jolo.
Then merupakan tebusan Malaysia pertama yang dipenggal kumpulan militan Abu Sayyaf.
Brigadier Jeneral Alan Arrojado,  Komander Pasukan Petugas Bersama Sulu mengesahkan Then telah dipenggal.
Sumber tentera dan pekerja sosial di Filipina menunjukkan jurutera elektrik berusia 39 tahun itu dibunuh kumpulan Abu Sayyaf ketika mereka cuba mengelak operasi ketenteraan Filipina di kawasan Butaran Hill di sekitar Kampung Indanan, Jolo.
Menurut sumber itu, kumpulan tersebut menembak Then kerana dia memperlahankan usaha mereka untuk melarikan diri.
Namun, pekerja sosial di Jolo mendakwa kumpulan tersebut merancang untuk mendedahkan satu video pemenggalan kepala dalam masa terdekat.
Mereka berkata telah menerima berita pemenggalan itu tetapi belum dapat mengesahkan siapa pemimpin Abu Sayyaf yang melakukan pembunuhan tersebut.
Then dipercayai berada dalam tebusan kumpulan yang diketuai Indang Susukan.
Buat masa ini, pegawai Filipina masih belum mengesahkan insiden itu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata mereka masih belum menerima apa-apa berita mengenai Then.
Then diculik bersama dengan pengurus restoran Thien Nyuk Fun, 50, dari restoran Ocean King Seafood di Sandakan pada 15 Mei lalu.
Thien dibebaskan pada 8 November lalu dan kembali ke pangkuan keluarganya di Sandakan.
Gambar terakhir Then diambil ketika dalam tawanan di kepulauan Jolo.
Sementara itu seorang pegawai kanan tentera Filipina mendakwa kepala tebusan warga Malaysia, Bernard Then dipenggal oleh kumpulan militan Abu Sayyaf kerana tuntutan wang tebusan yang diminta tidak dipenuhi.
Komander Pasukan Petugas Bersama Sulu, Brigadier Jeneral Alan Arrojado berkata kumpulan Abu Sayyaf berpangkalan di Indanan yang diketuai pemimpin Alden Bagade dan Indang Susukan bertanggungjawab memenggal kepala Then.
Menurut Arrojado, rundingan gagal dicapai menyebabkan kumpulan itu memenggal kepala mangsa di Taran, Indanan pada pukul 4 petang.
Arrojado memetik sumber perisikan tentera berkata, kepala Then dipenggal dan dikebumikan dengan segera.
Beberapa jam sebelum pemenggalan, tentera melancarkan serangan udara ke atas wilayah yang dikuasai kumpulan Abu Sayyaf.
Arrojado berkata beliau telah mengarahkan unit Scout Ranger dan Marin untuk melakukan operasi memburu kumpulan itu dan mencari mayat mangsa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitternya pada malam Selasa memaklumkan polis masih belum dapat mengesahkan nasib Then buat masa ini. -mstar

No comments:

Post a Comment