Sunday, 18 October 2015

Kerajaan Terengganu Akan Bantu Puteri Nabila

20151017_172627
Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan To’ Puan Seri Halina Zakaria menziarahi keluarga Puteri Nabila Azaman di Kampung Raja,                                                          Chendering, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Hasmizi Hamid

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman menziarahi anak pasangan yang maut dalam kemalangan di Kilometer 258, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berdekatan Hentian Rawat dan Rehat Perasing di Jabor, Kemaman, Rabu lalu. 
Puteri Nabila Azaman, 19, menjadi yatim piatu sekelip mata selepas bapanya, Azaman Ramli, 49, dan ibu tirinya Noor Akmal Mohd Zain, 48, serta semua empat adik beradiknya terkorban dalam kemalangan tersebut.
Turut serta dalam kunjungan itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria bersama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh dan Ketua Puteri UMNO Negeri, Rozita Ismail di rumah keluarga tersebut di Kampung Raja, Chendering, Kuala Terengganu.
Puteri Nabila merupakan pelajar tahun akhir di Kolej Vokasional Wakaf Tembusu.
20151017_173005
Dalam kunjungan itu, Ahmad Razif memberi jaminan, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu akan membantu Puteri Nabila khususnya dalam pendidikan.
“Saya diberitahu, cita-cita Puteri Nabila mahu menjadi guru. Jadi, kerajaan negeri akan membantu sebaik mungkin untuk dia merealisasikan cita-citanya.
“Kerajaan negeri turut melahirkan simpati dengan tragedi yang menimpa keluarga ini. Kita harap Puteri Nabila terus tabah dan berusaha gigih dalam pengajiannya,” ujarnya.
Ahmad Razif turut menyampaikan sumbanganbagi meringankan beban keluarga berkenaan.
Turut menghulurkan sumbangan, Puteri UMNO Negeri Terengganu dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu. - teganukita

No comments:

Post a Comment