Sunday 18 October 2015

Kemaman buat persediaan hadapi banjir


                                                                        Kemaman siap siaga banjir

KEMAMAN – Rakyat biasa mendengar ‘fire drill’ atau latihan kebakaran, tetapi simulasi banjir agak asing bagi mereka, bagaimanapun ia sudah menjadi sebahagian daripada Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menghadapi banjir di daerah ini.
Baru-baru ini, simulasi kali kedua telah diadakan di sebuah dewan yang merupakan satu daripada pusat pemindahan banjir bagi penduduk Felda Seberang Tayor di sini.
Apa yang menarik mengenai simulasi ini, lebih 160 pemimpin tempatan yang hadir ditempatkan di pusat pemindahan banjir itu dan bukannya di hotel mewah ataupun inap desa yang lebih selesa.
Kesemua pemimpin itu merasai sendiri situasi ketika banjir berlaku dan mereka didedahkan dengan taklimat kesihatan, keselamatan dan insurans, pemindahan barangan dan mangsa, intervensi mangsa banjir, cara-cara memberi bantuan pernafasan (CPR) dan kit pertolongan cemas serta simulasi operasi menyelamat di sungai.
Simulasi dua hari itu dianjurkan Pejabat Daerah Kemaman dan Parlimen Kemamanyang turut disertai pelbagai agensi dan jabatan termasuk Angkatan TenteraMalaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Institut Kemahiran Belia Kemasik dan Chukai Adventure Team.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika menutup program itu berkata, simulasi banjir itu merupakan sebahagian daripada persediaan yang dirancang di daerah ini bagi menghadapi bencana itu.
“Bencana seperti banjir mungkin tidak boleh dielakkan kerana ia ketentuan Tuhan, tetapi kita boleh berusaha bagi memastikan ia dihadapi dengan cara terbaik.
“Alhamdulillah, tahun lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberikan tahap emas kepada SOP pengurusan banjir Kemaman dan tahun ini kita cuba untuk menambah baik lagi SOP ini,” katanya.
Beliau berkata beberapa penambahbaikan diperkenalkan semasa simulasi itu termasuk pengedaran risalah persediaan menghadapi banjir iaitu perkara yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas banjir serta kalendar pasang surut air laut.
Selain itu, penyediaan kit kecemasan, pek makanan sedia dimasak, bekas makanan plastik, kit permainan untuk kanak-kanak dan insurans bencana turut diperkenalkan.
Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata pek makanan siap dimasak itu akan diberikan kepada semua mangsa banjir ketika mereka mendaftarkan diri di pusat pemindahan.
“Pek ini mengandungi makanan seperti roti, kaya, sambal ikan bilis, sardin dan biskut yang membolehkan ia dimakan terus oleh mangsa banjir sebaik tiba di pusat pemindahan,” katanya.
Beliau berkata, stesen mengecas telefon bimbit juga dicadang untuk ditempatkan di setiap pusat pemindahan banjir bagi memudahkan petugas dan mangsa banjir berhubung dengan anggota keluarga mereka yang lain.
Beliau berkata, ada syarikat insurans yang bersedia untuk mengadakan satu skim insurans bagi mangsa banjir di Kemaman yang akan dapat membantu meringankan beban terutamanya memulihkan keadaan mereka selepas banjir.
Tahun lepas, lebih 32,000 mangsa ditempatkan di 61 pusat pemindahan banjir di seluruh Parlimen Kemaman.
Pegawai Daerah Kemaman Datuk Rozali Saleh berkata sebanyak 73 pusat pemindahan yang boleh menempatkan sehingga 36,600 mangsa dikenalpasti bagi menghadapi bencana banjir tahun ini. – Bernama

No comments:

Post a Comment