Monday 28 September 2015

Taufan Dujuan Semakin Hampiri Taiwan



OPERATOR pelancongan di Xindian kawasan pelancongan popular di New Taipei City mengangkat bot-bot pelancongan untuk disimpan ekoran ancaman Taufan Dujuan

Taipei: Hampir 3,000 orang kebanyakannya pelancong dipindahkan dari pulau-pulau di Taiwan semalam berikutan Taufan Dujuan yang semakin menghampiri negara itu dan dijangka membawa hujan lebat serta air pasang.
Taufan Dujuan membawa angin maksimum sehingga 209 kilometer sejam, meningkat 560 kilometer di tenggara daerah Hualien pada jam 6.30 pagi waktu tempatan dan menurun sekitar 350 kilometer dari pulau Ishigaki di Jepun.
“Ia berada pada had teratas ribut sederhana dan kami tidak menolak jika ia akan menjadi lebih kuat,” kata jurucakap biro kajicuaca Taiwan kepada AFP.
Pengusaha syarikat feri meningkatkan jadual perjalanan bagi memindahkan orang ramai dari Pulau Green ke Pulau Orchid yang popular dengan pelancong. Hampir 3,000 orang dipindahkan dari kedua-dua pulau itu, kata biro pelancongan tempatan.
Kedatangan ribut itu membantutkan rancangan hujung minggu orang ramai yang meraikan Perayaan Pertengahan Musim Luruh.
Dujuan dijangka melanda Ishigaki, Jepun, sekitar tengah hari ini dan membadai Taiwan pada petang hari yang sama. Ribut itu dijangka melanda tanah besar China bermula esok selepas bergerak menerusi Taiwan.
Jabatan kaji cuaca Jepun memberi amaran ia boleh mencetuskan gelombang setinggi 13 meter apabila ia melanda negara itu.
Laporan berita Jepun dan pegawai penerbangan berkata, sekurang-kurangnya tiga penerbangan terpaksa dibatalkan dan agensi kaji cuaca di negara ini turut memberi amaran mungkin berlaku tanah runtuh, ombak besar serta hujan lebat. – AFP

No comments:

Post a Comment