Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, arahan penutupan itu melibatkan sebanyak 2,926 sekolah, 141,120 guru dan lebih 1.7 juta pelajar di semua negeri yang terlibat, namun jumlah itu tidak termasuk di Tanjung Malim.
Walau bagaimanapun katanya, kementerian telah memberikan kuasa di peringkat jabatan pendidikan negeri dan daerah untuk menentukan keperluan menutup sekolah atau sebaliknya berdasarkan keadaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan masing-masing.
“Kementerian hanya mengumumkan penutupan sekolah secara umum untuk negeri-negeri yang terjejas. Tetapi jika ada kawasan yang tidak terlibat dengan arahan itu, namun IPU adalah tinggi, jabatan pendidikan negeri atau daerah berkenaan boleh menutup sekolah terbabit dengan memaklumkan kepada kementerian terlebih dahulu.
“Begitu juga dengan sekolah yang diarahkan tutup, jika pihak sekolah bersetuju agar tidak ditutup, terpulang kepada pihak jabatan pendidikan negeri dan daerah. Tetapi sebarang keputusan yang dibuat mestilah berdasarkan bacaan IPU yang disahkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata, beliau telah meminta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk menyediakan laporan terkini mengenai bacaan jarak penglihatan dan IPU kepada Kementerian Pendidikan sebagai rujukan.
Katanya, sekiranya bacaan jarak penglihatan kurang daripada 500 meter dan bacaan IPU antara 120 dan 150, pihak kementerian akan membenarkan sekolah ditutup.
“Sebelum ini, kita hanya berpandukan pada bacaan IPU, tetapi jarak penglihatan tidak menjadi keutamaan dalam membuat keputusan (menutup sekolah) sedangkan jarak penglihatan juga boleh menjejaskan keselamatan. Jadi, sekarang kita tidak perlu tunggu bacaan IPU sampai 200 baru nak tutup sekolah, kita perlu lihat juga aspek jarak penglihatan,” katanya.
Beliau berkata, arahan penutupan sekolah yang dibuat untuk enam negeri esok adalah berikutan bacaan IPU hari ini yang menunjukkan bacaan Tidak Sihat (IPU 101-200) dan Sangat Tidak Sihat (IPU 201-300) di negeri-negeri terbabit.
“Pihak jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah bagi negeri-negeri dan bahagian tersebut hendaklah memaklumkan kepada sekolah-sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing mengenai penutupan ini dengan kadar segera.
“Kementerian akan memaklumkan setiap hari iaitu selepas pukul 2 petang tentang situasi dan keperluan penutupan sekolah di seluruh negara. Kita tidak bercadang untuk membuat pengumuman penutupan sekolah bagi tempoh tertentu, sebaliknya keputusan dibuat berdasarkan laporan dan situasi terkini setiap hari,” katanya. -utusan