Thursday 13 August 2015

Gadis rayu bapa kandung tampil jadi wali


Seorang gadis yang kini tinggal di Batu Buruk, dekat sini, mencari bapanya untuk menjadi wali pada majlis pernikahannya yang dijadualkan berlangsung 28 Ogos ini.
Nazila Mohd Hatar, 26, yang kini tinggal bersama ibunya, Kalsom Abdullah, 48 dan bapa tirinya, Ali Mat Zin, 62, memberitahu, dia telah terpisah dengan bapanya, Mohd Hatar Abdul Rani, 58, sejak 16 tahun lalu, ketika baru berusia 10 tahun.
Menurutnya, abang kandungnya, Mohd Zaidy, 27, pernah berjumpa bapanya itu di sebuah kedai makan di Jalan Batas Baru, di sini, dan bapanya ada berpesan, enggan jadi wali sekiranya dia ingin berkahwin.
“Saya tak pasti mengapa bapa berkata demikian. Mungkin kerana saya satu-satunya anak perempuan daripada empat beradik. Namun saya amat berharap dia dapat menunaikan tanggungjawab sebagai wali kepada saya pada majlis pernikahan itu nanti,” katanya.
Nazila berkata, dia telah mengikat tali pertunangan dengan Mohamad Nor Abdul Majid yang bekerja sebagai nelayan di Pulau Duyong pada 29 Mei lalu.
Ketika ditanya mengenai gambar bapanya itu, Nazila memaklumkan, dia tidak menyimpan gambar Mohd Hatar, malah tidak pernah melihat wajah bapanya itu.
“Saya tidak pernah tahu bagaimana wajah bapa saya kerana masih kecil ketika dia dan ibu saya bercerai. Apa pun, saya amat berharap dia dapat tampil sebagai wali saya pada hari pernikahan nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment