Thursday 13 August 2015

Lelaki dijel ugut bakar rumah bapa saudara


Gara-gara mengugut mahu membakar rumah pusaka milik bapa saudaranya dan juga mengugut mangsa sambil menunjukkan sepana tayar, seorang lelaki dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Wan Mohd Hareez Wan Hasim, 26, menerima hukuman itu apabila mengaku salah atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa, Jafri Hamzah, 45.
Pendakwaan dikendalikan Asisten Superintendan L Rathna dihadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi yang kemudian memutuskan hukuman setahun penjara bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, Rozianti memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak.
Berdasarkan fakta kes, pada 25 Mei lalu, jam lebih kurang 7.30 petang ketika berada di Duyung, mangsa telah menelefon anak saudaranya (Wan Mohd Hareez) yang tinggal bersamanya di rumah pusaka keluarga di Jalan Pasir Panjang.
Tujuan mangsa menghubungi anak saudaranya itu adalah untuk memesan agar tidak lagi membawa pulang kawan-kawan yang disyaki penagih dadah ke rumah, kerana mengganggu ketenteraman dan risau berlaku perkara tidak diingini.
Pesanan tersebut telah menaikkan kemarahan Wan Mohd Hareez sebelum bertindak menghantar khidmat pesanan ringkas (sms) kepada mangsa memaklumkan yang dia mahu membakar rumah pusaka berkenaan.
Pada 27 Mei lalu, lebih kurang 9 pagi, mangsa pulang ke rumah pusakanya itu dan ketika mengetuk pintu rumah, Wan Mohd Hareez telah keluar sambil memegang sepana tayar lalu menunjukkan kepada mangsa dengan berkata ‘kenal nie?’.
Mangsa yang ketakutan melarikan diri sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran.

No comments:

Post a Comment