Monday 27 July 2015

Terengganu miliki UTC November ini


RTC bakal dibina di Terengganu.
KUALA TERENGGANU: Terengganu bakal memiliki Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang pertamanya untuk kemudahan penduduk menjalankan urusan harian mereka dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), M Harith Hassan, berkata UTC itu akan diwujudkan dalam kompleks beli-belah Paya Bunga Square (PB Square) di pusat bandaraya Kuala Terengganu di sini dalam masa terdekat.
UTC itu dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya November depan.
“Saya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan beliau bersetuju memilih PB Square sebagai lokasi UTC di negeri ini,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri PMINT di sini, hari ini.
Ketika ini Terengganu memiliki sebuah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Al-Muktaffi Billah Shah dekat Bukit Besi di Dungun yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung.
Lebih 1,000 tetamu hadir di majlis itu yang turut disertai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd Zubir Embong, mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Dalam majlis itu, PMINT menyumbangkan duit raya kepada kira-kira 100 anak yatim dari empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Hiliran, SK Wakaf Mempelam, SK Durian Burung dan SK Pulau Rusa.
Seramai 50 warga emas di sekitar kawasan Pulau Wan Man dekat Losong turut menerima sumbangan serupa. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment