Thursday 9 July 2015

Aliran Trafik Baharu Di Kuala Terengganu Menjelang Aidilfitri


jMBtN sultaN MAHMUD
KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan memulakan sistem aliran trafik yang baharu Ahad ini bagi mengelak kesesakan lalu lintas menjelang Aidilfitri, kata Datuk Bandar Datuk Mohamad Kamil Othman.
Beliau berkata ia membabitkan penukaran aliran trafik dari bulatan Ladang ke Pejabat Pos iaitu daripada sehala kepada dua hala.
“Jika aliran trafik ini berjalan lancar mungkin kita akan kekalkan ia kerana maklum balas yang diterima memang banyak pihak yang mahukan jalan dua hala ini dilaksanakan semula di laluan tersebut.
“Ia juga bagi memenuhi hasrat peniaga di sepanjang laluan itu yang optimis mereka mampu mencapai jualan lebih banyak sekiranya jalan dua hala dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Laluan sepanjang kira-kira satu kilometer itu mula ditukar kepada sehala sejak tiga tahun lalu.
Mohamad Kamil juga berkata lima laluan dan persimpangan utama di sekitar Kuala Terengganu juga akan ditutup sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.
Jalan yang terlibat ialah Persimpangan Bukit Tumbuh; Persimpangan Bukit Tunggal; Persimpangan Buloh Gading/Tanjung Bunut; Persimpangan Gong Kapas/Pasir Panjang dan Persimpangan Jalan Kemajuan/Jalan Tengku Mizan.
“Jalan yang ditutup ini adalah sama seperti yang dilakukan pada tahun lepas berikutan langkah itu didapati berjaya melancarkan aliran trafik dan mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment