Tuesday 7 July 2015

(18 Gambar) Penyerang negara Rozaimi Kritikal Kemalangan


Penyerang bola sepak negara Rozaimi Abd Rahman terlibat kemalangan di Kota Kinabalu.
Kota Kinabalu: Bekas penyerang Harimau Malaya, Rozaimi Abd Rahman, 23, parah selepas kenderaan dinaikinya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok dan tembok di Batu 3.5 Jalan Tuaran, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, pemandu kereta jenis Honda Civic yang juga pemain Piala Presiden Sabah, Ak Mohd Farris Mahamud, 21, turut mengalami cedera parah.
Rozaimi kini dirawat di Unit Kecemasan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan kini sedarkan diri manakala Farris dirawat di hospital sama masih belum sedar.
Pegawai Hubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.34 tengah hari sebelum menghantar sepasukan anggota bersama jentera ke lokasi.
“Bomba tiba di lokasi pada jam 1.46 tengah hari dan mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa lalu dihantar ke hospital dengan ambulans,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengurus Pasukan Sabah Rahman Zakaria ketika dihubungi mengesahkan Rozaimi terbabit dalam kemalangan dan kini masih menerima rawatan lanjut.
Rozaimi, mula mencipta nama pada kejohanan kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun pada 2012 apabila muncul penjaring terbanyak dengan 10 gol, selain pernah dinobatkan 10 pemain terbaik Asia oleh saluran sukan ESPN pada tahun sama.
Rozaimi antara salah seorang penyerang muda prolifik negara yang pernah dinobatkan sebagai Pemain Harapan Terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2012.
Malah pemain yang baharu menyambut kelahiran ke-23 tahun pada 11 Jun lalu merupakan penjaring terbanyak Kejohanan Kelayakan Piala AFC B-22 di Myanmar dengan 10 gol pada tahun 2012.  -Hmetro

Keadaan kenderaan milik Rozaimi yang terbabit dengan kemalangan di Likas

LATAR BERLAKANG Rozaimi
Nama Rozaimi Abdul Rahman tiba-tiba naik apabila beliau meledak 4 gol dalam perlawanan menentang pasukan Filipina U22 pada 25 Jun yang lepas. Pemain yang dilahirkan pada 11 Jun 1992 di Bongawan, Sabah mula disenaraikan oleh Ketua Jurulatih Harimau Muda pada Julai 2011 untuk perlawanan persahabatan menentang Chelsea.
Rozaimi memulakan karier bola sepak profesional beliau bersama pasukan Sarawak setelah bermain untuk pasukan Piala Presiden Sabah pada peringkat remaja tetapi hanya membuat satu penampilan bersama pasukan Sarawak pada tahun 2010. Beliau kembali ke pasukan Sabah pada tahun 2011 dan membuat penampilan pertama Liga Super ketika Sabah tewas dengan Terengganu 2-1. Gol Liga Super pertama beliau hadir ketika pasukan Sabah seri 1-1 dengan Perak.
Pada 28 April 2012, Rozaimi telah membuat penampilan pertama beliau bersama pasukan senior Malaysia ketika perlawanan menentang pasukan Sri Lanka. Rozaimi juga menjaringkan gol kedua pasukan Harimau Muda yang merupakan gol pertama beliau untuk pasukan Harimau Muda pada perlawanan persahabatan menentang pasukan Qatar U22.
Empat gol dengan dua gol pada setiap separuh masa oleh Rozaimi memastikan kemenangan selesa pasukan Harimau Muda dan menghidupkan kembali saingan pasukan Harimau Muda untuk layak ke saingan AFC bawah 22 tahun. Kecemerlangan Rozaimi pastinya memberi kelegaan kepada pasukan Malaysia. Beliau pastinya bakal memberikan saingan kepada barisan penyerang lebih senior seperti Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha untuk mendapatkan tempat di kesebelasan utama pasukan kebangsaan.
Khidmat dan kecemerlangan Rozaimi dan juga rakan-rakan pastinya terus ditagih oleh peminat bola sepak tempatan bagi perlawanan seterusnya menentang pasukan Taiwan U22. Taiwan U22 turut mengalami kekalahan besar 1-8 ketika berhadapan dengan Korea Selatan pada perlawanan yang turut berlangsung petang tadi.

No comments:

Post a Comment