Sunday 14 June 2015

Tubuh Anak Terkulai Tidak Bernyawa Terapung Di Permukaan Sungai


JENAZAH Noraini ditemui berhampiran Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah, semalam.
JENAZAH Noraini ditemui berhampiran Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah, semalam.
Alor Setar: Seorang ibu yang sedang menunggu hari untuk bersalin hanya mampu meraung apabila melihat tubuh anak perempuannya terkulai tidak bernyawa selepas ditemui terapung di Sungai Kuala Kedah berhampiran Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah, di sini, semalam.
Mayat mangsa Noraini Maisarah Musa, 10, ditemui hanya lima meter dari tempat kanak-kanak itu mandi oleh bapa saudaranya Che Din Othman, 37, kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang kelmarin, Noraini bersama adiknya Ayu Wan Mira, 9, dan rakannya Nor Alisya Natasya Yahya, 9, mandi di kawasan berhampiran sebuah kilang memproses kepah, bagaimanapun mangsa hilang selepas dihanyutkan ombak.
Che Din berkata, dia sedang berdiri di tepi sungai berkenaan dan terlihat objek seakan-akan buah kelapa dalam keadaan timbul, tetapi separuh tenggelam.
“Saya memerhatikan ombak yang terhasil dan tiba-tiba melihat sesuatu seperti tubuh manusia dalam keadaan terapung berdekatan tongkang berkenaan.
“Apabila diperhatikan secara teliti, saya menyedari tubuh yang memakai baju berbelang biru dan merah serta berseluar sukan adalah anak saudara saya yang hilang lalu terus melompat ke dalam sungai dan cuba mendapatkannya.
“Saya memang kenal dengan baju berkenaan kerana sering dipakai mangsa lalu membuang perasaan takut untuk terjun dan berenang ke arahnya walaupun air pasang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.
Menurutnya, dia bersyukur kerana berjaya membawa naik mayat anak saudaranya dengan kudrat sendiri walaupun keadaan arwah sudah tidak bernyawa lagi.
“Saya selaku waris rasa bertanggungjawab mewakili ayahnya yang sedang menjaga Ayu Wan Mira,9, di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, selain menganggap arwah seperti anak sendiri kerana tinggal bersama di Kuala Sala, Yan,” katanya yang bekerja sebagai nelayan di Kuala Kedah.
Sementara itu, ibu mangsa Halijah Kassim, 30-an, yang ditemui enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan kejadian menimpa anak sulung daripada empat beradik.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Alor Setar Pegawai Penguasa Bomba Mohd Jamalludin Mat Yusuf berkata, seramai 14 anggota termasuk tujuh daripada Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Sungai Petani bersama dua bot memulakan semula operasi mencari pada jam 7 pagi semalam- hmetro

No comments:

Post a Comment