Sunday 14 June 2015

MB Terengganu Melawat Mamat Jusoh di Hospital Ajyaad – Mekah



Yab Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman Menteri Besar Terengganu Melawat Mamat Jusoh yang sedang dirawat di Hospital Ajyaad Mekah.
Yab Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman Menteri Besar Terengganu Melawat Mamat Jusoh yang sedang dirawat di Hospital Ajyaad Mekah.
MEKAH, 14 Jun — Pesakit Terengganu yang sedang koma di Hospital Ajyaad, Mamat Jusoh, dijangka akan dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Jun ini.

Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata pihaknya bersama keluarga akan berbincang dengan pihak hospital di sini bagi membawa pulang pesakit secepat mungkin.

Tambah Ahmad Razif, beliau berasa amat bersyukur kerana syarikat penerbangan MAS bersetuju untuk membawa pulang Mamat ke Malaysia pada tarikh tersebut dari Jeddah.

“Kita begitu komited untuk membawa pulang Mamat (Jusoh) ke Malaysia seawal mungkin bagi memastikan keluarganya (di Malaysia) dapat menjaga di rumah.

“Kita juga membawa seorang doktor pakar dari Terengganu supaya dia dapat berbincang dengan doktor yang merawatnya di sini untuk mengetahui apakah keperluan-keperluan yang perlu disediakan oleh keluarga pesakit,” katanya selepas melawat Mamat di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri kepada Menteri Besar To’ Puan Seri Halina Zakaria, Pegawai Pembangunan Kuala Nerus Dato’ Basir Ismail, Pegawai Penyelaras Dun Bukit Tunggal Tuan Arif Sahibu Fadillah Tuan Ahmad dan Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus Apli Yusof.

Ahmad Razif berkata pihaknya begitu komited untuk membawa pulang pesakit secepat mungkin berikutan arahan pemindahan pesakit ke hospital lain di luar kota Mekah bermula Ramadhan ini.

Katanya ini kerana apabila tiba bulan Ramadhan, semua hospital di sini terpaksa dikosongkan untuk persediaan menerima pesakit yang ada di bulan puasa.

“Ini sudah menjadi polisi semua hospital yang terdapat di sini. Saya dimaklumkan sekiranya Mamat tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia, dia akan ditempatkan di Hospital Ibnu Sina di mana ianya terletak 30km dari Jeddah,” katanya lagi.

Mamat Jusoh, yang menerima rawatan di hospital di sini sejak dua bulan lalu selepas tidak sedarkan diri ketika melakukan ibadah umrah, ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi memandangkan beliau masih memegang visa lawatan yang sah ketika kejadian berlaku.

No comments:

Post a Comment