Sunday 28 June 2015

Kerajaan Terengganu, Universiti Madinah jalin kerjasama


Universiti Islam Madinah Arab Saudi.
KUALA NERUS – Kerajaan Terengganu melalui Institut al-Quran (IQ) akan menjalin kerjasama untuk program pendidikan berkembar dengan Universiti Madinah tidak lama lagi, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Serentak itu beliau berkata kerajaan negeri akan memulakan kelas Syahadah Ulul Albab sebagai penyediaan pelajar melanjutkan pelajaran ke IQ dan Universiti Madinah.
“Buat permulaan seramai 50 pelajar Tingkatan Empat yang sudah menghafaz minimum 20 juzuk al-Quran akan mengikuti kelas itu di Sekolah Menengah Imtiaz Bukit Keluang di Besut.
“Ia akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika program berbuka puasa di Besut pada 6 Julai depan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Dana Raya kepada 634 penerima di Kampung Baru Seberang Takir.
Ahmad Razif ketika di Majlis sumbangan Dana Raya kepada 634 penerima di Kampung Baru Seberang Takir
Sebanyak 5,830 penerima dalam kawasan Dun Seberang Takir layak mendapat sumbangan Dana Raya tersebut yang disampaikan secara berperingkat sebelum Aidilfitri ini.
Mengulas lanjut Ahmad Razif berkata kelas Syahadah Al Quran itu bertujuan melahirkan generasi ulama Islam yang berkepakaran dalam pelbagai bidang pada masa akan datang.
“Dalam kelas Syahadah Ulu Albab, mereka akan terus mendalami al-Quran dan belajar Sains Tulen selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka akan terus menyambung pelajaran ke IQ dengan modul pengajian Universiti Madinah.
“Seterusnya mereka akan berkhidmat dengan kerajaan Terengganu untuk pelbagai jawatan yang sesuai khususnya dalam membangunkan Terengganu sebagai negeri maju mengikut acuan Islam,” katanya. -Bernama

No comments:

Post a Comment