Sunday 28 June 2015

Atlet Terengganu Sumbang Pingat Sukan SEA Terima Insentif


index
Atlet Terengganu yang memainkan peranan penting bagi menghasilkan sumbangkan pingat kepada negara dalam temasya Sukan SEA di Singapura baru-baru ini mendapat skim pemberian insentif dari kerajaan negeri.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Ab Rashid Jusoh berkata, atlet negeri itu berjaya menyumbang lapan pingat emas, empat perak dan 11 gangsa pada kejohanan kali ke-28, selama 11 hari bermula 5 Jun lepas.
Beliau berkata, di bawah skim pemberian insentif, atlet yang memenangi pingat emas individu memperolehi RM4,000 manakala berpasukan RM2,500. Bagi pingat perak (RM3,000/RM2,000) dan gangsa (RM2,000/RM1,500).
“Atlet kita telah menyumbang pingat emas penting seperti dalam lumba basikal melalui Mohd Harrif Saleh, memanah (Khairul Anwar Mohamad) dan menembak (Alia Sazana Azhari),” katanya pada majlis penyampaian insentif kepada atlet dan berbuka puasa yang disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di sini, Khamis malam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Datuk Rozi Mamat.
Ab Rashid berkata, atlet lain yang menyumbang pingat emas pada temasya itu ialah Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Muhammad Sufi Ismat Mr Rohulamin dan Rabiatul Adawiyah Mohamed (kesemuanya menerusi sukan hoki), Siti Rahmah Mohamed Nasir (pencak silat) dan Abdul Latif Mansor menerusi perahu layar.
Menurutnya Terengganu juga turut memberi sumbangan kepada semua atlet negeri yang mewakili negara dengan masing-masing memperolehi insentif sebanyak RM1,000.
Katanya, pada kejohanan dwitahunan itu, Terengganu menghantar seramai 73 atlet termasuk dua pegawai dan enam jurulatih.
Pada majlis itu, Ab Rashid menerima sumbangan sebanyak RM132,500 dari kerajaan negeri yang disampaikan Ahmad Razif, sebagai gantian perbelanjaan untuk atlet Terengganu sepanjang kejohanan itu berlangsung.

No comments:

Post a Comment