Tuesday 23 June 2015

Harga sayur naik antara 50 sen hingga RM1 sekilogram di Terengganu



Kuala Terengganu – Harga beberapa jenis sayur-sayuran di pasar awam dan pasar tani di Terengganu dilaporkan meningkat sementara harga telur ayam pula menurun dalam bulan puasa ini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Hasan Jusoh, berkata harga sayuran naik antara 50 sen hingga RM1 sekilo, bergantung kepada jenis.
“Kenaikan harga komoditi yang ketara ialah sayur kailan, kobis bulat tanah tinggi, kacang buncis dan tomato tanah tinggi,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, harga sayur kailan sekarang ini ialah RM5 sekilo berbanding RM4.50 sebelumnya, kobis bulat RM3.50 (RM2.35), tomato RM3.50 (RM2.35) dan kacang buncis RM8.50 (RM7.50).
Beliau berkata bagaimanapun dalam masa yang sama, ada juga barang-barang yang turun harga seperti harga telur ayam.
Sebagai contoh, katanya harga telur ayam gred A kini turun kepada 45 sen sebiji berbanding 77 sen sebiji sebelumnya, gred B 35 sen sebiji (44 sen sebiji) dan gred C 35 sen sebiji (43 sen sebiji).
Dalam pada itu, beliau berkata nilai jualan pasar tani di Terengganu dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini adalah sebanyak lebih RM12.1 juta.
Hasan berkata, nilai jualan untuk bulan Mei sahaja melebihi RM2.7 juta.
Katanya, mengikut rekod jualan, pada bulan Januari jualan adalah melebihi RM2.4 juta, Febuari (RM2.3 juta), Mac (RM2.3 juta) dan April (RM2.3 juta). Di Terengganu, terdapat 20 pasar tani dengan 1,363 usahawan.

No comments:

Post a Comment