Tuesday 30 June 2015

Buang bayi ketika jemaah masjid sedang solat Maghrib (4 Gambar)


BAYI perempuan yang dipercayai ditinggalkan di Masjid Sungai Gelugor diberikan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP). 
GEORGETOWN: Tangisan bayi perempuan yang masih bertali pusat dipercayai ditinggalkan, mengejutkan jemaah Masjid Sungai Gelugor di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, bayi itu ditemui kariah masjid ketika jemaah lain sedang menunaikan solat Maghrib selepas berbuka puasa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata bayi itu ditemui kariah masjid dalam keadaan baik sejurus terdengar tangisannya.
BAYI perempuan yang ditemui di tangga Masjid Sungai Gelugor, Pulau Pinang, semalam.
Beliau berkata, bayi perempuan itu ditemui masih bertali pusat serta dibalut dengan tuala, dipercayai ditinggalkan di tepi tangga masjid itu.
Katanya, bayi berkenaan berada dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.
Seorang saksi, Mohammad Hafiz Mohammad Zaidi, 26, berkata jemaah lelaki dimaklumkan mengenai bayi itu oleh seorang jemaah wanita yang terdengar bunyi tangisan bayi.
“Selepas solat Maghrib, saya ke tandas dan seorang makcik bertanya kepada saya ada jemaah perempuan solat di bahagian lelaki ke, kerana dengar bunyi tangisan bayi di tangga masjid.
“Sebaik dimaklumkan, kami terus ke bahagian tangga dan mendapati bayi perempuan sedang menangis. Saya terus beritahu imam dan jemaah lain,” katanya.
Mohammad Hafiz berkata seorang daripada jemaah terus mengambil bayi itu dan melihat ada lampin pakai buang serta beberapa helai baju bayi dalam sebuah beg berhampirannya.
“Ada jemaah lelaki yang nampak seorang wanita menghampiri tangga masjid sebelum tergesa-gesa keluar, tapi dia tidak sangka wanita itu meninggalkan bayi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, dan berkata bayi itu dalam keadaan sihat dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang.
Beliau berkata polis akan mendapatkan rakaman CCTV yang terdapat di kawasan masjid itu untuk siasatan lanjut.
“Saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment