Tuesday 9 June 2015

800 penjawat awam dari 13 buah negeri Berentap di Sukan SUK


Foto Hiasan
Foto Hiasan
Sebanyak 800 penjawat awam dari 13 buah negeri bakal berentap pada Kejohanan Pejabat-Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Se-Malaysia Ke-13 di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, bermula hari ini.
Kejohanan sukan dwitahunan selama empat hari berakhir Khamis itu mempertandingkan enam acara iaitu badminton, ping pong, dart, karom, futsal dan tenpin boling.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kejohanan itu bukan semata-mata bermatlamat memburu kemenangan, sebaliknya lebih utama bagi mengeratkan persahabatan, semangat kerjasama dan kesefahaman di antara peserta-peserta yang mengambil bahagian.
Katanya kejohanan itu juga merupakan medan menampilkan kebolehan dan potensi diri, bukan sahaja dalam acara sukan tetapi sebagai batu loncatan dalam memperkasakan produktiviti sebagai tenaga kerja Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan negeri seluruh Malaysia.
“Kejohanan ini menyaksikan Terengganu selaku tuan rumah kali kedua selepas kali pertama pada 1991 dan diharapkan ia menjadi platform yang mampu melahirkan kakitangan mempunyai fizikal dan mental yang sihat, cergas, berdisiplin, komited serta berdaya saing.
“Kerjasama terjalin ini merupakan tanda menzahirkan semangat bagi memartabatkan sukan agar diiktiraf sebagai satu elemen penting dalam konteks integrasi dan perpaduan nasional,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kejohanan itu hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah kejohanan itu dijangka disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Osman Muda, di Dewan Besar Wisma pada Jumaat ini.

No comments:

Post a Comment