Tuesday 5 May 2015

Pertandingan Kenderaan Berhias 2015 Sempena Keputeraan



kenderaan berhias
Sambutan Ulang Tahun Ke-53 Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bakal dimeriahkan lagi dengan pertandingan kenderaan berhias 2015 di Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu, pada jam 8 malam  (5 Mei).
Pertandingan yang bertemakan 17 Tahun Pemerintahan-Dirgahayu Tuanku (1998 – 2015) akan dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee.
Mohd Jidin berkata, pertandingan melibatkan 22 kenderaan berhias dari setiap daerah termasuk 14 beca berhias dari badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu nanti turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan serta Sultanah  Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Beca berhias berkenaan melibatkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH); Terengganu Inc; Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT); Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT); Tenaga Nasional Berhad (TNB); Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC); Primula Beach Hotel; Percetakan Yayasan Islam Terengganu; Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT); Syarikat Air Terengganu (SATU); Felda Wilayah Terengganu; Q-Bena Resources Sdn. Bhd; Taman Tamadun Islam (TTI Management Sdn Bhd) dan TDM Berhad.
Katanya, perarakan itu akan melibatkan beberapa laluan utama di bandar Kuala Terengganu termasuk Dataran Syahbandar, Pasaraya Hock Kee Seng (Tanjung), Hotel Tanjong Vista, lampu isyarat hadapan Restoran Uncle Chua, Sumai Hotel, Bulatan Batu Burok (checkpoint) dan penamatnya, di Taman Awam Batu Burok.
“Perarakan sempena keputeraan baginda ini bagi menghidupkan suasana dan memberi keceriaan warna-warni kegembiraan kepada masyarakat setempat.
“Pada masa yang sama mampu menonjolkan keunikan produk, destinasi pelancongan dan pembangunan di daerah-daerah yang telah dicapai di sepanjang 17 tahun pemerintahan baginda,”katanya.
Tambahnya, ia juga dapat memartabatkan lagi perkhidmatan beca sebagai satu lagi ikon pelancongan negeri dan seterusnya membantu meningkatkan taraf hidup penarik beca.
Menurut Mohd Jidin, pertandingan beca berhias ini bakal menjadi permulaan dalam mewarnai keceriaan Bandaraya Warisan Pesisir Air Kuala Terengganu apabila beca berhias itu akan terus digunakan untuk menawarkan perkhidmatan lawatan sekitar bandar raya kepada pelancong yang ingin merasai keseronokan menaiki kenderaan itu.
Katanya, inisiatif itu juga sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat badan-badan berkanun dan GLC bagi  menjadikan beca sebagai anak angkat dalam satu usaha melestari dan memulihara khazanah warisan masyarakat negeri melalui penyerlahan rekabentuk dan pencahayaan kenderaan dan beca berhias yang mempunyai unsur-unsur kebudayaan, kesenian dan warisan negeri.
Beliau berkata, pemenang pertandingan kenderaan berhias bakal menerima RM20,000 (pertama), RM 15,000 (kedua) dan RM 10,000 (ketiga), sementara tempat ke- 4 dan 5 masing-masing bakal menerima RM5,000 dan hadiah saguhati di tempat ke-6 hingga 8 pula akan mendapat RM1,000 setiap satu.
Sementara bagi pertandingan beca berhias pula, pemenang pertama akan menerima RM3,000, diikuti kedua (RM2,500) dan tempat ketiga (RM2,000). Manakala pemenang di  tempat ke- 4 (RM 1,500),  tempat ke-5 (RM1,000) serta hadiah saguhati (ke- 6 hingga 14) menerima RM500 setiap satu-teganukita

No comments:

Post a Comment