Monday 11 May 2015

Pelajar UiTM Dungun Johan Pertandingan Pidato 1Malaysia 2015


Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun, dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pidato 1Malaysia 2015 peringkat negeri Terengganu anjuran Jabatan Penerangan Negeri.
Muhammad Dinnie Asyraf Salim, 20, pelajar tahun akhir Diploma Pentadbiran Awam dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi berjaya menewaskan lapan peserta lain di peringkat akhir hari ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata kemenangan tersebut sekaligus melayakkan Muhammad Dinnie untuk mewakili negeri Terengganu ke peringkat kebangsaan yang akan berlangsung Julai ini di Johor. Menurutnya beliau menyokong sepenuhnya penganjuran pertandingan pidato sebegini yang mana pelbagai isu semasa diperdebatkan yang sekaligus dapat meningkatkan semangat cintakan negara dalam kalangan anak-anak muda.
“Sekarang ini, kita lihat ada antara remaja yang kurang menghargai pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu, kita harap melalui pertandingan ini dapat lahir pelapis negara pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Pidato 1Malaysia 2015 peringkat negeri Terengganu, Ahad.
Turut hadir pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terenggau, Nasrudin Mahmud.
Sementara itu, Muhammad Dinnie berkata beliau yang juga merupakan Kapten Kelab Debat dan Pidato universiti tersebut tidak menjangkakan kemenangan tersebut memandangkan persaingan yang hebat dari peserta lain.
“Alhamdulillah, ini rezeki saya, walaupun saya tak jangka kemenangan ini…saya bersyukur sangat-sangat, sebab saya sepatutnya menyertai pemilihan Debat Piala DiRaja UiTM, tetapi disebabkan pertandingan anjuran penerangan ini, saya terpaksa korbankan pemilihan tersebut.
“Sebenarnya, agak sedih pada mulanya sebab tak dapat nak sertai Debat Piala DiRaja UiTM yang menampilkan pendebat yang hebat-hebat, tapi sekurang-kurangnya kemenangan ini menjadi pengubat saya,” katanya berasal dari Rawang, Selangor.
Muhammad Dinnie membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500 berserta sijil.
Beliau pernah muncul johan bagi Pertandingan Debat peringkat Asean anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada tahun lalu.
Sementara itu, guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Sultan Mizan, Besut, Ahmad Fakhrurrazi Che Daud serta bakal guru dari IPG Kampus Datuk Razali Ismail, Batu Rakit Anis Hazirah Mohd Saberi masing-masing muncul naib juara dan tempat ketiga.

pidato-teganukita

No comments:

Post a Comment