Monday 11 May 2015

Kementerian Giat Kempen Kasih Sayang Sesama Keluarga



Bagi mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan di negara ini, pentingnya setiap anggota keluarga untuk menzahirkan rasa sayang dan kasih dikalangan ahli keluarga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, bagi mengembalikan konsep asas untuk menanamkan perasaan kasih dan sayang sesama ahli keluarga, pihak kementerian dengan kerjasama pelbagai agensi berusaha untuk mempergiatkan lagi pelbagai kempen kesedaran.
Beliau turut berkata, kasih sayang merupakan perkara asas yang perlu dipupuk setiap hari bagi kebahagiaan institusi keluarga walaupun masing-masing dalam keghairahan mengejar arus kemajuan dan kemodenan ketika ini.
“Kempen yang dijalankan kementerian ketika ini juga adalah perkara asas yang perlu dilakukan seperti komunikasi dua hala yang lancar, pemberian hadiah dan pelukan kasih sayang, terutama antara ibu dan anak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan bersempena program Jelajah Keluarga Bahagia Negeri Terengganu di sini.
Sepuluh ibu cemerlang daripada pelbagai latar belakang turut diraikan dalam majlis itu atas kejayaan mereka melahirkan anak yang berjaya dalam akademik dan sahsiah.
Ketika diajukan mengenai kes buang bayi yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini, Rohani berkata kementerian sedih dengan perkara itu kerana ia melibatkan nyawa bayi yang tidak berdosa sedangkan banyak cara lain boleh dilakukan untuk menyelamatkan nyawa bayi tersebut.
Beliau turut berkata, negara masih mempunyai rumah perlindungan untuk gadis yang terlanjur dan memerlukan bantuan.
“Kenapa perlu membunuh, sedangkan kita ada rumah perlindungan untuk membantu gadis yang terlanjur ini…perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
“Kementerian akan terus memperhebatkan kempen kesedaran agar dapat menyelamatkan nyawa bayi ini kerana masih ramai yang ingin menjaga kebajikan mereka,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof.

No comments:

Post a Comment