Monday 20 April 2015

Yayasan Sultan Mizan sedia khidmat guaman percuma


                            Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM)
BESUT – Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) akan meneruskan khidmat bantuan guaman secara percuma khusus kepada golongan kurang berkemampuan di kawasan luar bandar di Terengganu.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof berkata, sebanyak 40 peguam sivil dan syariah di negeri ini kini menawarkan khidmat mereka untuk membantu golongan tersebut.
Beliau berkata, bantuan guaman itu juga dapat mengikis prasangka golongan miskin bahawa perkara berhubung khidmat guaman memerlukan perbelanjaan besar dan membebankan untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
“Program yang dilancarkan sejak dua tahun lepas di Kuala Terengganu ini akan diteruskan dengan kerjasama Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Istiadat Negeri Terengganu (Maidam),” katanya.
Mohd Fadzil berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Kesedaran Undang-undang dan Khidmat Nasihat Guaman di Musolla Iqra Kampung  Paya Raya, Kampung Raja, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata, sejak program itu dilancarkan, kes-kes yang dihadapi oleh masyarakat Islam terutama berkaitan bidang syariah seperti tuntutan nafkah dan penceraian berjaya diselesaikan.
Beliau berharap melalui penubuhan program klinik bergerak itu, ia akan memberi banyak kemudahan kepada golongan tidak berkemampuan untuk mendapatkan  bantuan dan khidmat nasihat di masa depan.
Di samping itu, katanya, terdapat juga kira-kira 200 peguam sivil dan syariah di negeri ini yang boleh memberikan khidmat kaunseling dan nasihat sama ada sesuatu masalah boleh teruskan dengan tindakan undang-undang atau sebaliknya.
Beliau berkata dengan persetujuan jawatankuasa peguam negeri, aktiviti khidmat guaman di Kuala Terengganu dan Besut akan ditakwimkan untuk tempoh setahun bagi memudahkan orang ramai dan penduduk setempat mendapatkan khidmat tersebut. – Bernama

No comments:

Post a Comment