Wednesday 15 April 2015

Terengganu Henti Hantar Pelajar Perubatan Ke Rusia Mulai Tahun Ini – Exco


ghazalitaib
Mulai tahun ini, Kerajaan Terengganu tidak lagi menghantar pelajar dari negeri ini melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan ke Rusia.
Keputusan itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib, dibuat kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu berikutan langkah Majlis Amanah Rakyat dan Jabatan Perkhidmatan Awam yang mengurangkan penghantaran pelajar ke negara tersebut.
“Kami juga membuat keputusan ini disebabkan faktor kemudahan serta lokasi penempatan pelajar yang jauh dari kampus,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Inovasi Guru Kafa Terengganu (i-Kafa) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Selasa.
Program i-Kafa yang dianjurkan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal UMT bersama Yayasan Islam Terengganu disertai 250 guru Kafa yang bertujuan meningkatkan kualiti pengajaran guru Kafa di Terengganu.
Ghazali berkata sebagai alternatif, kerajaan negeri membuat keputusan untuk menghantar pelajar kursus perubatan ke Universitas Kristen Krida Wacana di Jakarta, Indonesia, dengan penghantaran pelajar pertama pada September ini.
Katanya ini membabitkan kos pengajian termasuk elaun sara hidup berjumlah kira-kira RM390,000 seorang dengan tempoh pengajian lima setengah tahun.
safe_image.php
“Pemilihan universiti ini dibuat kerana kelebihannya sebagai antara Universiti Awam terbaik dalam bidang perubatan diikuti aspek klinikal yang terbaik sekali gus akan melancarkan proses pembelajaran oleh pelajar kelak,” katanya.
Ghazali berkata kedudukan universiti tersebut yang berada di tengah bandaraya Jakarta secara tidak langsung memudahkan akses pelajar ke mana-mana hospital berdekatan untuk menjalani latihan dan kursus berkaitan.
Sehingga ini, sejak penghantaran pertama pelajar ke dua universiti di Rusia iaitu di Volgograd State Medical University dan I M Sechenov First Moscow State Medical University, sejumlah 221 anak jati Terengganu sedang menuntut di negara tersebut.

No comments:

Post a Comment