Monday 27 April 2015

Raja Serama Mangamit Tasik Kenyir


raja seramaKira-kira 570 peminat ayam serama dari dalam dan luar negara menyertai Pertandingan Raja Serama Tasik Kenyir Peringkat Asean Tahun 2015 yang diadakan selama satu hari di Tasik Kenyir, Sabtu.
Program anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan kerjasama Kelab Keluarga Ketengah dan Persatuan Kesenian dan Kecantikan Ayam Serama Negeri Terengganu tersebut turut disertai beberapa peserta dari Asean seperti Indonesia, Thailand, Myanmar dan Vietnam.
Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Ketengah, Omar Ismail berkata program yang telah masuk tahun ketujuh penganjurannya sejak tahun 2009 tersebut akan dijadikan program tahunan di Tasik Kenyir bagi menarik lebih ramai pengunjung ke tempat pelancongan yang akan dijadikan sebagai tasik bebas cukai pertama menjelang tahun depan.
“Dengan adanya program ini, kita akan dapat menarik lebih ramai pengunjung ke sini dan sebanyak lapan kategori dipertandingkan dengan hadiah keseluruhan berbentuk wang tunai sebanyak RM30,000 beserta piala.
“Sebenarnya, peminat serama ini tak mementingkan wang tetapi mereka datang ke sini disebabkan minat mereka terhadap ayam serama yang merupakan haiwan unik dan sangat cantik. Jadi program ini dapat menjadi platform bagi peminat haiwan ini untuk berkongsi idea dan hobi mereka,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Pertandingan Raja Serama Tasik Kenyir Peringkat Asean 2015 di sini.
Seorang peserta, Nanta Tansacha, 50 dari Bangkok, Thailand berkata meskipun beberapa kali tidak berjaya memenangi hadiah, beliau tidak pernah serik untuk menyertai pertandingan tersebut.
“Ini kali keempat saya sertai pertandingan di sini. Saya pernah menyertai pertadingan di negara Asean lain, tetapi saya paling suka ke Kenyir.
“Tetapi tahun ini nabib tidak menyebelahi saya, namun saya akan cuba lagi tahun depan,” katanya.
Antara kategori yang dipertandingkan pada pertandingan tersebut ialah Serama A iaitu berat 350 gram ke bawah, Serama B iaitu berat 351 gram hingga 500 gram, serama tanpa lawi, serama muda, serama remaja, serama induk, serama anak A iaitu 100 gram ke bawah dan serama anak B iaitu 130 gram ke bawah.
— BERNAMA

No comments:

Post a Comment