Wednesday 4 March 2015

Karnival pendidikan & kerjaya di Besut

Karnival Hala Tuju Pendidikan dan Kerjaya’ yang bertempat di Dewan Masjid Hadhari di Jerteh ahad ini. -Gambar hiasan
BESUT – Semua pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 yang telah memperoleh keputusan, dipelawa mengikuti ‘Karnival Hala Tuju Pendidikan dan Kerjaya’ yang bertempat di Dewan Masjid Hadhari di Jerteh di sini.
Program anjuran bersama Pejabat Pelajaran Daerah Besut, Majlis Guru Kaunseling, Biro Profesionalisme Muda Besut dan Biro Pendidikan Umno Besut itu akan diadakan selama dua hari bermula Ahad ini, seawal 8.30 pagi hingga 4 petang.
Pengerusi Biro Profesionalisme Muda Besut, Tengku Rahim Tengku Ramli berkata, sehingga kini pihaknya telah menjemput 10 Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan 17 Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) menyertai karnival itu.
“Para lepasan SPM dan STPM boleh mendapatkan peluang menyambung pelajaran sama ada di IPTA ataupun IPTS serta bagi yang tidak mempunyai kelulusan baik, mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat untuk pemilihan kursus di IPT,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya, selain itu pelbagai khidmat sosial turut akan diadakan membabitkan khidmat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Institut Profesional Baitulmal, Yayasan Terengganu, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Pejabat Kesihatan.
Menurutnya Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh dijangka akan merasmikan karnival itu pada Ahad.
Sehubungan itu, sesiapa yang berminat menyertai karnival berkenaan boleh menghubungi sekretariat Saudara Nor Azman Ibrahim (014-8056468), Rozimi Abd Rahman (013-9903030) dan Tengku Rahim (019-3517880). – Bernama

No comments:

Post a Comment