Sunday 18 January 2015

Kerajaan Negeri terus sokong pasukan bola – MB


Ahmad Razif ketika di Sidang Media Majlis Memperkenal Pemain dan Pelancaran Jersi Pasukan Terengganu dan T-Team tahun 2015 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu malam tadi.
Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan dan dorongan kepada pembangunan sukan khususnya bola sepak yang merupakan sukan popular dalam kalangan rakyat. Menteri Besar Dato ‘ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sukan adalah sektor penting yang mampu melonjakkan nama negeri di peringkat dalam dan luar negara.

“Kerajaan tetap menyokong dan membantu dalam segala aspek kepada dua pasukan utama bola sepak negeri iaitu Terengganu dan T-Team”, katanya. 

“Walaupun tidak semewah seperti pasukan lain, kebajikan dan keutamaan pemain dan pengurusan tetap diutamakan dan kerajaan negeri sentiasa berada di belakang untuk membantu secara bersama. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Terengganu dan T-Team serta perlawanan persahabatan antara kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu malam tadi. Turut hadir Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid  dan Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan Dato ‘ Rozi Mamat. 

Beliau turut berkeyakinan Terengganu dan T-Team mampu mengembalikan kecemerlangan kepada bola sepak negeri selain menyasarkan dapat membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini. Oleh itu beliau mahu jurulatih dan pengurus memantau prestasi semasa pasukan supaya dapat bersaing secara kompetitif dengan pasukan lain.

Ahmad Razif menerima jersi baharu Terengganu bernombor 14 dari Wan Ahmad Nizam malam tadi.
Ahmad Razif berkata pengurusan dan pemain kedua-dua persatuan perlu bersama-sama dalam menyelesaikan sesuatu keputusan seiring dengan konsep kerajaan negeri iaitu Transformasi Terengganu Baharu ( TTB) supaya bola sepak negeri terus berkembang dan cemerlang. 

Sementara itu Ahmad Razif memberitahu perkembangan terkini Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak akan siap pada pertengahan bulan Februari untuk aksi di sebelah siang dan bulan April bagi perlawanan di sebelah malam selepas sistem lampu limpah siap sepenuhnya pada waktu itu.

No comments:

Post a Comment