Sunday 18 January 2015

Indonesia laksana hukuman tembak 6 pengedar dadah, termasuk 5 warga asing

                       
ANGGOTA polis Indonesia mengawal ketat penjara dekat Nusakambangan di Cilacap, Jawa Tengah.
 - Foto AFP

JAKARTA: Indonesia melaksanakan hukuman tembak ke atas lima warga asing dan seorang wanita negara itu atas kesalahan mengedar dadah meskipun terdapat rayuan dari kerajaan negara rakyat terbabit.
Empat lelaki warga Brazil, Malawi, Nigeria dan Belanda serta wanita Indonesia itu ditembak mati secara serentak sebaik tengah malam tadi, beberapa kilometer dari penjara berciri keselamatan tinggi di Pulau Nusakambangan.
Seorang lagi wanita warga Vietnam melaksanakan hukuman itu di Boyolali, demikian menurut jurucakap Peguam Negara, Tony Spontana.
Kedua-dua penjara terletak di wilayah tengah Jawa.
Mayat mereka kemudian dibawa keluar dari pulau berkenaan oleh ambulans awal pagi ini sama ada untuk dituntut ahli keluarga atau kedutaan negara masing-masing.
Presiden Joko Widodo pada Disember lalu menolak rayuan terakhir pesalah terbabit.

                                    MARCO Archer Cardoso Moreira, 53. - Foto Reuters
Beliau juga menolak di saat akhir rayuan yang dikemukakan Presiden Brazil, Dilma Rousseff dan kerajaan Belanda terhadap Marco Archer Cardoso Moreira, 53, (warga Belanda) dan Ang Kiem Soe, 52, yang dilahirkan di Papua namun memiliki kerakyatan Belanda.
Menteri Luar Belanda, Bert Koenders dalam satu kenyataan lewat malam tadi berkata, beliau sudah memanggil sementara dutanya di Indonesia dan mengarahkan wakil kerajaan di The Hague untuk memprotes hukuman terhadap Ang.
Beliau berkata, hukuman itu dijalankan meskipun Raja Willem-Alexander dan Perdana Menteri, Mark Rutte secara peribadi menghubungi Widodo.
Beliau menyifatkan pelaksanaan hukuman itu sebagai "kejam dan tidak berperikemanusiaan, menafikan hak dan maruah kemanusiaan."
Peguam Negara Indonesia, Muhammad Prasetyo berkata, pengedar dadah tidak dapat lari dari hukuman dan berharap hukuman berkenaan akan memberi kesan kepada yang lain. - AP



No comments:

Post a Comment