Wednesday 28 January 2015

Kakak belasah adik kerana tanah pusaka arwah bapa di Serada

Kakak tergamak belasah adik kerana tanah pusaka.
KUALA TERENGGANU – Seorang kakak tergamak membelasah adiknya menggunakan batang besi selain menampar mangsa dipercayai tidak berpuas hati isu tanah pusaka milik arwah bapa mereka, dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Baharu Serada, di sini, Sabtu lalu.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa berusia 26 tahun berada di rumahnya, sebelum didatangi kakaknya berusia 28 tahun bersama suami berusia 30 tahun.
Katanya, sejurus tiba di rumah mangsa, pasangan suami isteri itu terus bertanyakan kepada mangsa berhubung tanah pusaka milik arwah bapa mereka.
“Pada mulanya, mangsa dan pasangan suami isteri itu hanya bertengkar mulut sebelum pertengkaran tersebut bertukar serius apabila mereka mula bergelut di antara satu sama lain.
“Dalam pergelutan itu, kakak mangsa bertindak menarik rambut dan seterusnya menampar mangsa sebelum wanita terbabit lari masuk ke dalam bilik bagi menyelamatkan dirinya.
“Bagaimanapun, suspek bersama suaminya yang masih tidak berpuas hati bertindak mengejar mangsa sebelum mangsa dipukul di muka dan belakang badan dengan sebatang besi oleh kakaknya,” katanya.
Jelas sumber, setelah puas melepaskan perasaan amarah dan geram mereka, pasangan suami isteri itu beredar meninggalkan mangsa yang ketika itu sedang menahan kesakitan.
Katanya, namun, sebelum beredar, abang ipar mangsa yang bagaikan dirasuk itu turut bertindak membaling kerusi kayu ke arah mangsa.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di mulut dan sakit-sakit badan.
“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga kerana bimbang keselamatan diri dan keluarganya, selain tidak mahu kakak dan abang iparnya itu datang lagi ke rumahnya lagi selepas ini,” katanya.
Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Ab Rafar yang dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment