Monday 29 December 2014

‘Mama Pesan Jangan Nakal’

                             
Seakan mengetahui dirinya akan pergi, mangsa yang terkorban dibawa arus deras dalam bencana banjir di sini, Allahyarhamah Norhayati Awang, 37, sempat memberi pesanan terakhir kepada anak keempatnya beberapa hari sebelum insiden bot terbalik berlaku.
Nor Intisar Izdihar Suhaimi, 6, atau manja dengan nama panggilan Tisar berkata, ibunya memintanya agar tidak nakal dan berkelakuan baik.
“Mama cakap Tisar jangan nakal-nakal bila mama meninggal,” katanya ketika ditemui semasa diziarahi Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di rumah bapa saudaranya, Azman Sulong, 44, di Taman Geliga Intan, semalam.
Nor Intisar bersama adik-beradiknya yang lain iaitu Nor Syafiqah Syahira, 12; Nor Izzah Insyirah, 11; Muhammad Irfan Irsyad, 9; Muhammad Aqil Amsyar, 4 dan Nor Adifa Arissa, 4 bulan, kini di bawah jagaan bapa dan ibu saudaranya.
Apa yang menyentuh hati, biarpun masih kecil, namun Nor Instisar yang belajar di Pasti Mak Chili, begitu memahami hakikat kedua-dua ibu bapanya sudah tiada.
“Mama dan abah ada kat akhirat.” Itu jawapan yang terluah pada bibir kecilnya saat ditanya mengenai ibu bapanya.
Sementara itu, ibu saudaranya, Zailani, 47, berkata, kesemua anak saudaranya itu kelihatan lebih tenang selepas kedua-dua ibu bapa mereka disemadikan.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, beliau akan berbincang dengan pihak keluarga dan kerajaan negeri mengenai bentuk bantuan yang akan diberikan kepada keluarga mangsa.
“Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat menteri Kabinet agar sokongan yang perlu dapat kita berikan kepada keluarga mangsa,” katanya.
Norhayati dan suaminya, Suhaimi Awang, 37, menjadi korban banjir selepas bot penyelamat yang dinaiki terbalik menyebabkan mereka berdua dihanyutkan arus deras pada Rabu lalu. SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment