KUALA TERENGGANU – Pasukan Hoki Terengganu (THT) membuktikan bahawa mereka tiada tandingan dalam saingan Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) 2014 apabila menang besar ke atas Sapura 9-2 dalam aksi berat sebelah di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini semalam.
Masih segar dengan kejayaan membenam pencabar utama, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 6-1 tempoh hari, kejayaan tersebut sekali gus membolehkan mereka muncul juara liga baharu musim ini.
Bagi pengendali THT, Sarjit Singh, anak-anak buahnya wajar meraikan kejayaan itu selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang musim ini.
“Saya sangat gembira dan berpuas hati dengan kejayaan ini.
“Para penyokong (Terengganu) juga ternyata sangat membantu menaikkan semangat pemain ketika beraksi,” katanya sejurus tamat perlawanan semalam.
Dalam perlawanan itu, Sapura bagaimanapun terlebih dahulu menemui sentuhan gol hasil jaringan padang Faridzul Afiq Mohd. pada minit ketiga sebelum Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menyamakan kedudukan lima minit kemudian, juga menerusi gol padang.
Mohd. Fitri Saari kemudian menggandakan jaringan buat tuan rumah hasil pukulan penalti seminit selepas itu disusuli oleh tiga jaringan pantas pada minit ke-14 dan 15 hasil penyudah berkesan oleh Faizal Saari, M. Firhan Ashaari dan Ismail Abu.
Seo Jong Ho kemudian menambah derita pelawat dengan jaringan keenam seminit selepas itu sebelum Sobirin Lias turut mencipta nama sebagai penjaring seminit sebelum tamat babak pertama.
Masuk babak kedua, Sapura cuba kembali bersaing dengan mendapatkan gol kedua hasil jaringan padang Khasif Ali pada minit ke-38 namun Firhan dan Jong Ho berjaya menghapuskan sisa-sisa perjuangan anak buah Tan Beng Hai dengan gol kelapan dan sembilan masing-masing pada minit ke-49 dan 52 perlawanan. -Utusan, gambar Mizy
No comments:
Post a Comment