Sunday 19 October 2014

Seorang lagi mangsa denggi maut di Terengganu



Seorang lagi mangsa demam denggi maut di Terengganu Rabu lepas menjadikan jumlah keseluruhan angka kematian akibat penyakit itu sebanyak dua orang pada tahun ini berbanding sifar pada tahun lepas.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, mangsa lelaki berusia 26 tahun itu berasal dari Kampung Pulau Rusa, di sini dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 8 Oktober lepas selepas demam selama dua hari.
Beliau berkata, mangsa mempunyai sejarah penyakit hipertensi, anemia dan kegagalan buah pinggang yang memerlukannya menjalani rawatan hemodialisis di HSNZ tiga kali seminggu sejak 2006.
“Doktor mengesahkan penyebab kematian ialah demam denggi dan komplikasi paru-paru berair akibat jangkitan kuman pada jantung serta kegagalan buah pinggang yang kronik.
“Ini adalah kes kedua serangan denggi dari salah satu lokaliti wabak di daerah Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Anwa berkata, sehingga 15 Oktober lalu, Terengganu mencatatkan 1,181 kes demam denggi berbanding 403 kes tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 193 peratus.
Katanya semua daerah termasuk Kuala Terengganu, Marang, Kemaman, Dungun, Besut dan Hulu Terengganu mencatatkan peningkatan yang membimbangkan kecuali Setiu yang merekodkan penurunan kes.
Kuala Terengganu mencatat kes tertinggi iaitu 772 kes, Besut (93), Marang (88), Kemaman (78), Hulu Terengganu (47), Dungun (88) dan Setiu (15).
Justeru beliau menasihatkan masyarakat supaya sentiasa mengambil tindakan pencegahan bagi menghapuskan tempat pembiakan aedes di rumah dan kawasan sekeliling. – Bernama

No comments:

Post a Comment